Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 9

  9.Doa permulaan usaha
“ Shah.....” Dan pintu biliknya terkuak sedikit sebelum tuan punya suara yang memanggil masuk dan duduk bersama Shahid diatas katilnya.

“ Hm, kenapa?” Shahid bertanya. Akmal dihadapannya dipandang. Akmal sengih. Dia memerhati barang-barang Shahid dalam bagasi yang terbuka.Lagu yang terpasang di dalam bilik Shahid menawan hatinya. Rentaknya yang merdu menyebabkan dia tertarik dengan lagu dalam bahasa arab tersebut.

“ Eh, sedap lagu ni. Kau faham ke apa dia kata?” Pertanyaan Akmal mengundang tawa Shahid. Baju yang ditanggalnya sebentar tadi dicampak kedalam bakul di tepi pintu bilik air. Tangannya menggapai sebuah buku hitam sebesar saiz buku tulis biasa. Dia hulur buku itu kepada Akmal.

“ Buat apa dengar lagu yang kita tak faham, mal?” Akmal membelek buku itu. Bila buku itu dibuka dia melihat tulisan Shahid dalam Bahasa Arab. Di bawahnya ada transalation lagu tersebut.

“ Ama Zilna?” Akmal membaca baris pertama. “ Apa maksudnya?” Akmal bertanya pada Shahid.

“ Benammi punya lagu. Maksudnya ada kat bawah tu. Dia tanya adakah kita kenal Tuhan kita. Yang bagi nikmat pada kita. Yang bagi kasih sayang pada kita.” Shahid menerangkan. Dia kemudian bangun mencapai tuala yang sentiasa dia  gantung di tempat penyidai.

“ Eh, Shah..” Akmal ikut bangun. “ Aku sebenarnya nak bagitahu kau ni.” Shahid sekdar isyarat tanya apa dia? Dia berhenti sebentar depan pintu bilik air menunggu penjelasan Akmal.

“ Aku hantar kau pergi Banting nanti. Guna kereta.” Shahid sekadar mengangguk. Dia kemudian masuk ke dalam bilik air untuk mandi.Seakan tidak percaya dia Akmal mahu menghantar dia ke Banting untuk bertemu Opah. Tapi dia sekadar bersyukur. Peluang bersama Akmal nanti mahu dia gunakan sepenuhnya untuk berkongsi ilmu sebelum dia berangkat ke Mesir.

Malam itu dia ke Surau Al Raudah bersama Akmal. Sudah lama tidak begitu. Dalam ingatannya, lebih kurang sedekad yang lalu, hampir tiap malam mereka begitu. Ke surau di kampung dengan menaiki basikal. Tiap-tiap malam ada kelas mengaji. Abang Udin merupakan siak surau tersebut. Bila semua jemaah balik , tinggallah Abang Udin, jiran sebelah rumah Opah mengemas surau. Sementara Pak Mail mengajar budak-budak di kampung itu mengaji.

Bila semua budak pulang, Akmal bersama Shahid pulang bersama menaiki basikal masing-masing. Selalu memang begitu. Abang Udin selalu bercerita tentang kisah-kisah yang berlaku di kampung tersebut. Malah Abang Udin merupakan rakan sekelas Abah Shahid, Zaid Mokhtar. Serambi surau yang diperbuat dari  kayu itu jadi tempat mereka melepak malam-malam. Mengenangkan hal itu, buat Shahid tersenyum lebar.

“ Shahid, kamu boleh bagi tazkirah antara Maghrib dan Isya’ nanti?” suara Pak Cik Zuhdi mematikan lamunannya. Dia baru sahaja masuk ke dalam surau. Akmal yang berdiri di sebelahnya turut menantikan jawapan.

“ Insya Allah, pak cik. Saya cuba.” Jawab Shahid. Pak Cik Zuhdi menepuk-nepuk bahunya sebelum berlalu. Shahid kemudian duduk di sebelah Akmal.

“ Masyuk ah.” Gurau Akmal dan dia tergelak kecil. Shahid turut tersenyum.

Selesai mereka Solat Maghrib berjemaah, Shahid dipanggil kehadapan mimbar untuk menyampaikan tazkirahnya. Dia memulakan dengan salam dan dijawab oleh jemaah yang hadir. Hari itu dia bercerita tentang mewujudkan rasa hamba dalam diri. Betapa Allah itu berkuasa atas segalanya dan kita perlu  yakin dan percaya setiap perkara yang terjadi adalah kerana Allah mahukan perkara itu terjadi.

“ Kita kena ingat, tanpa Allah tiada siapa yang dapat bantu kita untuk lakukan sesuatu hatta nak angkat satu jari sekalipun kita takkan mampu.”kata Shahid. Jemaah yang hadir mengangguk tanda faham. “Sebab tu Allah larang kita membangga diri sebab kita memang tiada apa-apa untuk dibanggakan.” sambung Shahid lagi.

“ Luqman sendiri pernah berpesan kepada anaknya,  ‘ Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.’”tambah Shahid lagi.

“ Allah S.W.T berfirman dalam Al Quran yang bermaksud, ‘Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekelian alam. ’ Apa yang kita laksanakan di muka bumi ni semuanya kita kena niatkan kerana Allah. Barulah kita terhindar dari riya' ” Shahid menyambung lagi, " Ada orang yang hari-hari solatnya di masjid, tapi di akhirat nanti dia masuk neraka. Semuanya sebab riya'"
Dia mengakhiri tazkirahnya pada malam itu. Dia kemudian dijemput Imam Asyraf untuk menjadi imam solat Isya’.

“ Err..Shah.” kata Akmal. Shah sekadar mengangkat muka sambil memandang Akmal menanti dia memulakan bicara. Ketika itu mereka berdua duduk di perkarangan surau. Di tangan mereka segelas kopi yang disediakan untuk jemaah yang hadir. “Macam mana eh kau boleh bagi tazkirah macam tu je?” tanya Akmal.

“ Maksud kau?” Shahid menjawab dengan pertanyaan. Hatinya menguntum senyum. Gembira Akmal bertanya soalan demikian.

“ Maksud aku, kau baru kena panggil, tiba-tiba kau boleh bagi tazkirah. Siap ayat Quran bagai.” Shahid tersenyum. Akmal masih menanti jawapan.

“ Itu yang semua orang boleh buat kalau kita membaca.” Balas Syahid. “ Kau tahu ada orang lagi muda usia dia dari kita, tapi ilmu dia lagi banyak. Kadang-kadang aku rasa cemburu pulak,” ujar Shahid sambil tersenyum mengingatkan Hilal. Akmal sekadar mengangguk. Ketika itu mereka sama-sama berjalan keluar dari perkarangan masjid. Tiba-tiba dia berhenti.

“ Shah sebenarnya aku dah lama nak cakap dengan kau pasal benda ni. Tapi kadang-kadang aku rasa malu nak cakap.” Shahid memandang wajah sahabatnya itu. “ Aku sebenarnya kagum dengan kau. Kadang-kadang aku rasa segan dengan kau.” Bicara Akmal lagi. Shahid hanya mendengar. “ Aku sebenarnya bersalah dengan abah. Aku teringin nak jadi macam kau. Tapi.. entahlah..”

“ Baguslah kau bercita-cita, mal.” Shahid memegang bahu Akmal. “ Tapi cita-cita itu kau kena panjangkan, dengan doa. Kau kena ingat, doa tu permulaan usaha.” Dia peluk erat bahu Akmal. “ Dengan doa kau akan rasa segalanya mungkin, sebab Allah sentiasa ada untuk membantu.” Akmal mengangguk faham.

Dan doalah yang menguatkan aku selama ni, mal. Shahid berbicara sendiri.

No comments:

Post a Comment