Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 16

16. Pertemuan di tepi Padang

Malam itu seperti malam-malam sebelumnya, dia ke surau. Pak Uda dijemput oleh Imam Asyraf untuk memberi tazkirah ringkas sementara menanti waktu Isya’ tiba. Dalam tazkirahnya pada hari itu, Pak Uda bacakan ayat-ayat Al Quran yang Allah turunkan bagi hambanya untuk menghadapi sebuah ujian[1]. Isi tazkirah Pak Uda yang memberi kesan yang besar pada jiwa Akmal itu dia catat dalam sebuah buku. Moga boleh dijadikan rujukan kelak, fikirnya.

Apabila kita bertanya pada Allah, ‘ Mengapa Allah uji seberat ini?’ Allah jawab dalam Al- Quran,
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. [2]”
Apabila kita bertanya pada Allah, ‘ Bagaimana harus aku menghadapinya?’ Allah jawab dalam Al- Quran,
“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.[3] ”

Mendengar tazkirah dari Pak Uda memberi semangat baru dalam jiwa Akmal. Malam itu satu mesej dihantar pada Nina selepas dia merasakan dirinya sudah betul bersedia.

+ Jumpa esok pagi. Tempat biasa.

Mesej itu kemudiannya dibalas Nina.

- Oke. Nina pun ad smthg nak bgtau. MU! J

MU. Miss you. Akmal mengeluh perlahan. Telefon bimbit itu segera diletak ditepi.  Akmal menggeleng kepala. Dia tidak mahu lagi terjebak dalam percintaan sebegitu. Percintaan yang hanya berlandas nafsu. Percintaan yang dibina atas dasar keseronokan duniawi semata. Hubungan yang tidak membawa sebarang manfaat sebagai hamba Allah.

Esoknya, selepas dia ke 7Eleven membeli dua bungkus Slurpee, langkah kaki diatur menuju ke padang. Pagi itu matahari tidak memanas hari seperti selalunya. Awan putih memenuhi ruang angkasa. Sekali-sekala kelihatan sekawan burung terbang mewarnai langit. Akmal duduk di atas salah sebuah bangku di tepi padang.

Nina sampai tak berapa lama kemudian. Motosikal yang dipandunya diparkir tidak jauh dari situ. Senyuman terukir pada wajahnya bila pandangan mereka bertemu.

“ Hai.” Dan Nina duduk di sebelah Akmal. Helmet yang dibawa diletak antara mereka. Akmal menghulur Slurpee yang dah mula mencair. “ Thanks.” Slurpee beralih tangan.

“Lama tak jumpa..” ujar Nina lalu menghadiahkan sebuah senyuman.  Akmal mengangguk.

“Semalam kata nak cakap something ?” soal Nina. Slurpee di tangan disedut menggunakan penyedut.

 Akmal menghela nafas.  Bibirnya dibuka dengan niat memula bicara tetapi niat itu dimatikan. Akmal diam sebentar. Nina disebelah hanya memerhati. Gelagat Akmal berbeza dari selalunya. Malah dia  merasa pelik melihat Akmal sebegitu.

“ Mal tak tahu macam mana nak cakap..” luah Akmal akhirnya. Nina tersenyum.

“ Sejak bila mal jadi pemalu?”soal Nina sambil tergelak kecil. Akmal sekadar menggigit bibir. Kepala yang tidak gatal digaru.

“ Mal...”ujar Nina. Tangan kanan Akmal diraihnya. “ Kenapa ni?” soalnya penuh prihatin.

Jantung Akmal berdegup kencang. Dengan berhati-hati tangan kanannya dialihkan dari pegangan Nina. Hatinya segera beristigfar. Nina masih setia menanti. Akmal kemudian berdiri.

“ Mal nak cakap pasal kita.” Kata Akmal. Otaknya ligat berfikir kata-kata terbaik untuk diucapkan.

“ Kenapa dengan kita?” tanya Nina, tidak mengerti. Malah hati Nina berasa gusar apabila tangan putih bersih miliknya dialihkan Akmal.

Akmal menarik nafas dalam. Bicaranya disusun teliti. Dia tidak mahu ada hati yang tersinggung. “ Macam ni. Mal nak kongsi sesuatu dengan Nina.” Ujar Akmal. “ Nina tahu mal sayang Nina, kan?” soalnya terlebih dahulu. Nina sekadar mengangguk. Dia menelan air liur yang terasa kelat. “ Sebab sayang.. kita kena buat perubahan..” sambung Akmal. Wajah Nina dipandang. “ Perubahan ke arah kebaikan.”

Suasana hening seketika. “ Mal nak kita sama-sama berubah, sama-sama jadi hamba Allah yang lebih baik.” Dahinya mengerut ketika bibir menutur kata-kata itu.

“Apa maksud mal?” soal Nina seakan tidak percaya buah bicara itu terlahir dari insan dihadapannya. Ragu-ragu bertakhta difikirannya. Kepelikannya terhadap kata-kata Akmal membara-bara.

Akmal mengalih pandangannya dari wajah Nina. “ Mal nak berubah, Nina. Mal nak buat apa yang Rasulullah suruh kita buat, apa yang Islam tuntut kita buat. Mal nak solat jemaah kat surau, Mal nak pakai tight kalau main futsal. Mengaji setiap hari. Belajar lagi pasal Islam-” Dia terhenti seketika. Pandangannya terasa kabur. Dia tunduk memandang jari jemari tangan yang digosok perlahan bagi membina kekuatan.

“ Tapi mal tak nak berubah sorang-sorang.” Dan air matanya gugur jua usai bait-bait itu dituturnya.

Nina disebelah seolah termenung memandang padang di hadapan mereka. Pandangannya kosong. Dia sekadar membatu. Akmal menanti respon daripada Nina. Dahi Nina sedikit berkerut. Nina akhirnya menghela nafas dan Akmal di sebelah dipandang. Senyuman terukir di bibir yang merah itu. Tapi senyuman itu tidak manis seperti kebiasaannya.

“ Baguslah kalau Mal nak berubah...”ucapnya. Nina kemudian diam lagi. Tidak pasti apa yang perlu diperkatakan. “ Maybe I should go home now.” Kata Nina ringkas. Dia kemudian berdiri. Akmal hanya duduk. Matanya mengekori langkah Nina. Motosikal yang dipandu Nina kemudian memecut pergi. Dia kembali memandang padang yang masih sepi. Sesepi dirinya kini yang mula merasa duka berkabus di jiwa. Dan bangku panjang itu hanya diisi dia bersama dua gelas Slurpee yang masih penuh.

“ Sabar.” Bisik hatinya memujuk kekecewaan yang mula menguasai diri.  “Orang-orang yang beriman, hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.[4]”

Malam itu usai solat berjemaah di surau, dia pulang ke rumah. Niatnya untuk bersama beberapa rakan lain bermain futsal dimatikan. Dia merasa badannya tidak sesihat biasa. Sebelum merebah diri ke katil telefon bimbit yang diletakkan diatas meja berbunyi.

Mesej dari Nina.

 + Nina dpt offer. To Wellington. Massey University. Bussiness.

- Congrats. J Bila Nina fly?

+ Next month plng awl. It’s 2 years prgramme. Plan nk bgtau td. Sorry.

- Its okay. Mal fham. I’m sorry too.

+ Psal td, i don’t think i’m ready. Yet. But I’ll try. J I think i need some time.

- Its alright. Mal tunggu.

Dia merenung siling yang putih. Kipas berpusing pada kelajuan yang sederhana. Dia menarik selimut. Esoknya suhu badan naik mencecah 39.5˚c. Akmal terpaksa dibawa ke hospital oleh Abah untuk dimasukkan air. Demamnya hanya kebah selepas 2 hari ditahan di hospital.

“ Kuatkan semangat Akmal Sharidan. Ini semua ujian.” Dia memujuk lagi.

Dan beberapa minggu kemudian surat jawapan dari Nothrop University, Los Angeles tiba. Walaupun niat asal dia tidak mahu meninggalkan Abah bersendirian di Malaysia, dia pergi jua. Hatinya menuntut perubahan bagi mengubat kekosongan jiwa yang lara. Dia akhirnya berangkat meninggalkan tanah air tercinta hanya 2 bulan selepas Nina terbang ke New Zealand.

[1] http://ahlifiqirmatematik.blogspot.com/
[2] (Al-Baqarah, 2:286)
[3] (Al-Baqarah, 2:153)
[4] surah Ar-ra'd ayat 28

Shahid Akmal 15

15.   Undangan ke Majlis Perkahwinan

“ Kau dapat jemputan Misah, Shah?” soal Akmal memulakan bicara setelah mereka sama-sama menghirup kopi panas yang dihidangkan dalam gelas polisterin. Shahid yang duduk di sebelah Akmal leka memerhati pemandangan di hadapan mereka.

Perkarangan dewan ketika itu penuh dengan peserta-peserta lain. Mereka berdua sedang duduk di atas sebuah bangku panjang yang menghiasi sisi jalan di lereng bukit. Salji memenuhi kiri dan kanan jalan. Di hadapan mereka beberapa peserta lelaki sedang bermain salji. Tidak jauh dari situ ada sekumpulan peserta wanita sedang bergambar sambil tertawa. Ketika itu seminar mengenai ‘ Dimensi Cinta dalam Ibadah ’ baru selesai.

Mata Shahid terkunci pada satu wajah. Rasa macam familiar....getus hatinya.

“ Eh, Shah. Kau dengan tak apa aku cakap tadi?” Bahu Shahid Akmal goncang sedikit. Shahid dengan pantas memegang tangan Akmal. Akmal sedikit terkejut.

“ Mal, kau tengok sister dalam jubah hitam tu.”ujar Shahid sambil bibirnya dijuih sedikit ke arah yang dimaksudkan.

Akmal sekadar mengerut dahi. Matanya mengecil. “ Jubah hitam?” soal Akmal.

“ Jubah hitam dengan tudung kuning air tu...”balas Shahid.

Fokus Akmal akhirnya berhenti pada sesusuk tubuh yang sedang berdiri beberapa jarak dari mereka. Seorang wanita dengan tinggi yang sederhana mengisi pandangannya. Kelihatannya wanita itu masih muda, barangkali muda beberapa tahun dari mereka. Mungking peserta junior, fikir Akmal. “ Hm, kenapa? Cun ke?” soal Akmal.

Shahid hanya tersenyum kecil sambil menggeleng kepala. “ Apalah kau ni, mal. Bukan sebab cantik. Cuma aku rasa macam pernah nampak dia sebelum ni. Budak sekolah kita dulu ke?”tanya Shahid. Akmal sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“ Entahlah, Shah. Tak pernah pula aku nampak dia sebelum ni.” Jawab Akmal. Shahid mengangguk. Walaubagaimanapun dia masih yakin dia pernah bertemu dengan peserta tersebut sebelum ini.

“ Eh, Shah. Kau dengar tak apa aku tanya tadi?”soal Akmal lagi. Shahid menggeleng. Kopi di tangan dihirup sekali lagi. Kopi itu sudah mulai sejuk.

“ Tadi aku tanya, kau ada dapat ke jemputan dari Misah.” Akmal mengulang pertanyaannya yang tidak dijawab tadi.

Shahid meletak gelas kopi di tangan ke atas bangku. Kakinya dipanjang. Lenguh rasanya duduk begitu lama. Dia menggosok-gosok kedua-dua tangannya lantas memeluk tubuh. “ Dapat.” Shahid jawab sepatah. Dia masih ingat kad bewarna putih dengan bunga-bunga pink yang dikirim Anas minggu lalu. Anas bakal menikahi Nurin Amisah akhir tahun ini.

Akmal menunggu bicara Shahid selanjutnya tapi jawapan Shahid terhenti disitu.
“ Kau okay ke Shah?” penuh hati-hati Akmal bertanya. Shahid hanya tersengih.

“ Jodoh kat tangan Allah, mal. Kalau Misah jodoh aku, mesti Allah pertemukan aku dengan dia. Kita ni hanya mampu merancang. Allah yang akan tentukan segalanya. Kita sebagai hamba kenalah redha dengan segala ketentuan yang Allah tetapkan.”ujar Shahid.

“ Kan dalam Al Quran Allah ada pesan, boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.  Aku percaya Allah ada perancangan yang lebih baik buat aku dan Misah. Mungkin Anas mampu bagi Misah sesuatu yang aku tak mampu.”sambung Shahid lagi. Akmal angguk mengerti.

“ Ada satu lagu. UNIC nyanyi. Kau tahu lagu Atas Nama Cinta?” Shahid bertanya. Belum sempat soalan itu dijawab Akmal, Shahid nyanyikan bahagian awal lagu itu. Matanya dipejam menghayati bait-bait lirik penuh makna itu. Akmal yang melihat tergelak besar. Shahid turut sama gelak.

“ Hoih, kau ni..Taula suara sedap..”ujar Akmal dalam tawa yang masih bersisa.

“ Lagu ni mesej dia bagus.” Shahid berkata apabila gelak mereka akhirnya reda. “ Menghindarkan diri daripada cinta dunia sebab takutkan kemurkaan Allah. Lagi sanggup bersendiri asalkan tak sunyi dari cinta Allah. Sebab cinta yang hakiki itulah cinta Ilahi.” Terang Shahid. Akmal mengangguk.

“ Aku ada lagu ni dalam MP aku.” Akmal memberitahu Shahid. “ Dari pendrive yang kau bagi.”kata Akmal lagi. MP3 Sony Ericsson berwarna biru dia keluarkan dari poket parka yang dipakai. Lagu Atas Nama Cinta nyanyian UNIC dimainkan dan mereka dengar bersama melalui fon telinga.

“ Cakap pasal benda ni, kau dengan Nina macam mana, mal?”soal Shahid.

Senyum Akmal melebar sampai ke telinga. Matanya menyepet.

Tika mata,
Diuji manisnya senyuman,
Terpamit rasa,
menyubur harapan. [1]

“ Alhamdulillah Allah permudahkan.” Ujar Akmal ringkas. Matanya bersinar pabila bab itu disentuh.

Dan Seketika,
Terlontar ke dunia khayalan,
Hingga terlupa
Singkat perjalanan
Tersedar aku, dari terlena,
Dibuai lembut belaian cinta[2]

“Mula-mula aku rasa aku tak tahu macam mana nak buat satu perubahan pada hubungan aku dengan Nina. Lama gak aku fikir. Last-last aku decide untuk buat perubahan pada diri aku dulu.”
Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna[3]

“ Aku ingat apa yang kau pesan. Doa permulaan usaha. Setiap kali solat aku pun doa Allah permudahkan usaha aku. Aku takut kalau Nina tak boleh nak terima. ”
Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka[4]

“ Tapi aku kuatkan semangat. Kalau nak berubah jadi orang yang lebih baik, Allah mesti tolong. Satu hari waktu aku online ada e-mail dari Nazim Bakar yang sambung belajar kat UK tu. Dia bagi tazkirah online pasal 5 perkara sebelum 5 perkara. Nazim terangkan pasal nikmat waktu lapang sebelum waktu sempit. Aku fikir, kalau tak sekarang, waktu aku kat Malaysia ni, time ada masa lapang aku, bila lagi aku nak bagitahu Nina. Nanti kalau dah pergi State, dah tak boleh jumpa Nina. Aku cakap ngan diri aku, kalau sayang, kena cakap juga.”
Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redha-Nya[5]

“ Aku pun buat keputusan jumpa Nina. Sebelum tu, aku istikharah dulu. Tanya kat Allah, betul tak keputusan aku. Malam tu pula, Pak Uda bagi tazkirah. Lagi berkobarlah semangat aku. Aku fikir apa jadi lepas ni, yang penting aku dah laksanakan part aku.”
Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa[6]
“ Bila aku dapat petunjuk, esoknya aku pun bagi mesej kat Nina.”
Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
Nikmat-Nya
Syurga-Nya
Cinta-Nya[7]


Dan dia kemudiannya membuka lembaran kisah hidupnya yang belaku lebih 5 tahun yang lalu, sebelum dia berangkat ke California.

[1] Lagu: Atas Nama Cinta/Album : Tika Itu/Munsyid : UNIC(source: http://liriknasyid.com)


[2] Ibid
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid

Shahid Akmal 14

14.  Sahabat yang baik
Suasana begitu dingin sekali. Walaupun salji tidak turun di Los Angeles tapi sejukknya sampai ke tulang. Akmal keluar tidak berapa lama kemudian membawa secawan besar coklat panas. Ketika itu mereka sedang lepak di luar rumah. Beberapa orang sahabat serumah Akmal juga ada di luar.

“ Macam mana programnya nanti, Akmal?” tanya Shahid. Tujuan asal Akmal mengajak dia ke California untuk membawa dia sama-sama menyertai program anjuran MISG di Iowa.

“ Kita bertolak esok. Makan masa 3 hari dari sini. Kita naik kereta Ammar.”

“ 3 hari? Lama jugak tuh. Berapa jauhnya dari sini, mal?” Akmal tersenyum

“ Dalam 1553 batu. Kita lalu beberapa negeri nanti. Wyoming, Nebraska, Nevada. Aku pun belum berpeluang pergi lagi. Ini pertama kali.”

MISG merupakan persatuan terbesar yang mengelola pelajar-pelajar Malaysia yang beragama Islam di seluruh Amerika. Program-program seperti ini dianjurkan sepanjang tahun. MISG sudah ditubuhkan hampir 30 tahun di sini.

“ Program untuk musim sejuk tahun ni MISG buat kat Iowa. Presiden MISG tahun ni student kat sana. Biasanya program dia penuh dengan seminar-seminar pembangunan jiwa. Yang bestnya kita boleh jumpa dengan member-member lain kat State yang sebelum ni susah nak jumpa sebab jauh.”ujar Akmal lagi.

Esoknya, usai Solat Subuh berjemaah, Shahid, Akmal dan 3 lagi kawan yang lain bersama menuju ke Iowa City. Malam pertama perjalanan mereka, mereka bermalam di Nevada, negeri yang terletak di utara California.

“ Shah...” Akmal tiba-tiba bersuara. Ketika itu mereka sama-sama dalam sleeping bag yang mereka bawa.

Mendengar suara Akmal dia buka mata. Kedengaran Akmal mengeluh kecil. Shahid lantas membuka lampu tidur di sisi mereka. Dia duduk di birai katil. Akmal turut duduk. Mereka sama-sama menghadap satu sama lain di tepi katil.

“ Aku sebenarnya nak minta maaf kat kau.” Akmal bersuara perlahan. Shahid mengerut dahi. Belum sempat Shahid bertanya kenapa, Akmal menyambung. “ Kau ingat waktu kita form 4 kau datang kelas aku, tanya aku nak join tak satu program ni ?” Akmal bertanya. Wajah Shahid dipandangnya.

Shahid sengih sambil angguk perlahan. Ingatannya berputar ke memori 7 tahun lalu. Di Gombak.

“ Shah, lagi 3 orang boleh lagi ni. Ajak sesiapa yang nak lah. Asalkan tingkatan 4.”ujar Afif. Shahid pantas mengangguk. Dia berkira-kira mengajak Akmal. Beberapa minit sebelum kelas malam berakhir, dia berlalu ke kelas Akmal.

“ Akmal, ada program kat UIA lepas maghrib esok. Join sekali, jom?”

“ Program apa?”

“ PASAK. Pengukuhan Akidah menerusi penghayatan Sains dalam Al Quran nur Karim. Dr Mohd Arif Kasmo bagi talk.”

“ Oh.” Akmal berfikir sejenak. “ Tengok dulu.” Dan esoknya selepas Solat Maghrib, ketika bas dari UIA tiba untuk menjemput, Akmal tiada di situ.

Pagi keesokan harinya, ketika Shahid dan beberapa orang lagi bangun untuk ke surau bagi melaksanakan Solat Tahajjud, kelibat beberapa orang pelajar lelaki berjalan masuk ke asrama dari bahagian belakang Dewan Makan menghentikan langkah mereka. Syafiq yang turut bersama Shahid ke surau sekadar menggeleng kepala.

“ Fly lah tu budak-budak tu. Tak pernah seriklah diaorang. Sekali kalau kena tangkap...haih.”

Shahid sekadar mendiamkan diri. Kelibat Akmal yang dilihatnya tadi menganggu fikirannya.

“ Aku tak patut buat kau macam tu.” Akmal bersuara sekali gus mematikan ingatan Shahid. Shahid tersenyum kecil.

“ Benda dah lepas, mal. Aku pun dah lupa.” Akmal geleng kepala.

“ Aku tahu kau terasa, Shah. Sepatutnya aku minta maaf kat kau. Bukan tu je. Banyak kali aku buat kau terasa. ” Matanya terasa berpasir. Air mata sudahpun bergenang.

Bahu Akmal Shahid pegang. “ Aku dah lama maafkan kau, mal. Aku tak pernah marah, jauh sekali nak terasa dengan kau.” Dia menepuk perlahan belakang Akmal.

“ Kau ingat dulu selalu Opah pesan kat kita ?” Shahid bertanya setelah jeda seketika. “ Setiap kali kita mengadu kat Opah pasal kita marah kat seseorang, Opah mesti kata, jahat orang jangan ingat. Tapi  baik orang kat kita jangan sesekali lupa.” Akmal tersenyum. Shahid ikut sama tersenyum.

“ Betapalah sangat jahatnya kau kat aku, mal, kalau nak dibandingkan dengan baiknya kau pada aku ?”

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dengan menjaga nama baikku ketika aku hidup dan setelah aku mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana dengan itu hatiku akan merasa senang.. Semakin ramai sahabat semakin aku percaya diri.. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka.. Jika ku temui maka aku akan setia dengannya.. [1]









[1]  Imam Syafie

Shahid Akmal 13

     13. Tiket ke California
Tiket yang tadinya dia pegang beralih tangan. Suasana yang lengang di lapangan terbang memudahkan urusannya. Jaket  tebal tidak disarung terus ke tubuh. Di sini masih panas, fikirnya.Tiket yang telah dikoyak bahagian tepinya diserahkan semula kepada Shahid. Shahid kemudian masuk mengikut laluan yang disediakan. Hari ini dia bakal berangkat ke California.


“ Salam brother Shahid.”Pintu biliknya diketuk perlahan. Shahid yang baru selesai mengaji menjawab salam lantas membuka pintu bilik.

“ Oh, kamu rupanya, Firdhaus... Masuklah.”kata Shahid. Firdhaus hanya menggeleng kepala.

“ Takpe brother, saya cuma nak hantar bungkusan ni. Kata brother Rusydi dari luar negara, United States.” kata Firdhaus membuatkan Shahid mengangguk sambil tersenyum. Brother Rushdi merupakan ketua marhalah yang mereka diami.  Pastinya kiriman itu dari Akmal. Dia mengingat perbualan Akmal dalam telefon minggu yang lalu. Katanya mahu kirim sesuatu.

“ Terima kasih, Firdhaus. Sampaikan salam pada brother Rusydi.” Firdhaus mengangguk dan kemudian berlalu.  

Bungkusan itu tidak tebal dan tidak besar. Barangkali cuma berisi kertas, fikirnya. Dan nyata yang keluar hanyalah sekeping kertas kajang beserta satu lagi sampul surat. Dari dalam sampul surat itu Kertas itu dibuka dan matanya meneliti tulisan yang tertera. Tulisan Akmal  yang sederhana dan kemas itu masih sama seperti dulu. Surat itu dia mulakan dengan salam.

Assalamualaikum wbt.
 Buat sahabatku, Muhammad Shahid bin Zaid Mokhtar
Shah, i’m a man with few words. Dan kau pun tahu,kan? So straight to the point. Aku tahu kau tengah cuti. So no complaint, aku nak ajak kau pergi  State. Konvo aku. Aku belikan kau tiket, and no need to pay back. Satu je, kau datang sini. Aku nak bawak kau pergi satu tempat and meet some people.

Aku banyak terhutang budi  dengan kau, Shah. Apa-apa benda yang aku buat takkan cukup nak balas jasa kau. Kau ajar aku banyak benda.  Please dont say no.

Akmal Super-Sharidan.heh

Super Sharidan. Shahid tersenyum. Dia mengenang kali terakhir Akmal menyebut itu. Akmal mengikuti program twinning bersama UITM sejak 2 tahun yang lalu. Dia berangkat ke California beberapa bulan selepas Opah pergi. Dan dia kini menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Eletrik dan Komputer di sana. Dia bakal menghabiskan pengajiannya kini.

Sampul surat yang lagi satu Shahid buka. Tiket ke LAX. Sememangnya Shahid telah selesai peperiksaan akhir beberapa hari yang lepas dan sedang bercuti. Mungkin ini peluang ke sana, fikirnya.

Dan dia tiba di Los Angeles International Airport beberapa jam kemudian.

Shahid Akmal 12

 12.Ujian dari Allah
Petang yang panas itu terasa lebih membahang dari biasa. Berita yang didengarnya pagi tadi buatkan dia tidak senang duduk. Kalendar dihadapannya ditenung lama. Buku perubatan yang terbuka diatas meja ditutup. Tangannya mengurut-ngurut bahu yang terasa lenguh. Gambar Opah tercinta yang dia selit di papan notis itu dia tatap.

“ Opah sakit, Shah..”suara Pak Long kedengaran di hujung talian. “ Tak boleh ke kamu balik sekejap?” Pak Long bersuara lagi. “ Opah rindu bebeno dengan kamu, Shah..” Shahid hanya diam membisu.
Otaknya ligat berfikir. Mana mungkin dia pulang dalam masa terdekat. Peperiksaan semester ini akan bermula esok. Peperiksaan sahaja makan masa lebih seminggu. Tiket juga perlu ditempah. Baitulmal perlu dimaklumkan terlebih dahulu. Paling tidak 2 minggu lagi baru dia boleh pulang.

Tapi Opah sudah terlalu tenat. Jalannya mesti dipimpin. Pernafasannya tersekat-sekat. Malah Opah selalu mengadu sesak nafas. Nasib baik Pak Long yang sudah pencen ada untuk menjaga Opah. Akmal yang sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian juga ada menjenguk sekali-sekala.

“ Insya Allah, Pak Long. Shahid cuba.” Dan dia hanya mampu berdoa.

Malam itu Shahid panjangkan sujud terakhirnya. Tahajjud sudah menjadi rutinnya semenjak dia bersekolah di Gombak lagi.  Setiap malam dia dan beberapa orang sahabat yang lain akan turun ke surau untuk solat sunat. Hadith yang dikongsi oleh Hilal sewaktu dia menyertai sebuah kem dulu tidak pernah dia lupakan.

“ Sebenarnya bab-bab bangun malam ni telah Rasulullah terangkan dengan jelas dalam beberapa buah hadith.”ucap Hilal kepada jemaah yang menyertai kem tersebut. “ Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya, ‘Syaitan akan mengikat kamu dengan 3 simpulan pada belakang kepala ketika kamu tidur. Pada setiap simpul dia berkata : Malam masih panjang, maka teruskan tidurmu..” Hilal diam sebentar.

“Apabila seseorang itu bangun dan mengingati Allah, maka terlepaslah satu simpul. Apabila dia berwuduk, terlepas pula  simpul kedua, apabila dia mengerjakan solat, maka terlepas pula simpul yang ketiga. Dan pada pagi harinya (Subuh) dia akan bangun dengan penuh semangat dan dalam keadaan hati yang baik; sebaliknya, jika dia tidak melakukan perkara tersebut (mengingati Allah, berwuduk dan solat malam), dia akan bangun pagi dalam keadaan hati yang buruk dan malas.” Jelas Hilal. Hadith itulah yang menguatkan Shahid untuk bangun setiap malam. Lama-lama kekuatan itu datang sendiri.

Malam itu tidak seperti malam sebelumnya, dalam solatnya dia menangis. Esakannya tidak kuat, tetapi air matanya terus-terusan mengalir. Doanya diulang berkali-kali. Dia yakinkan hatinya Allah akan kabulkan doa itu.  Dalam ketidakupayaan dia berdoa pada Allah yang Maha Agung. Permintaannya cuma satu, berilah kesempatan untuk menatap wajah Opah. Harapan itu dia sandarkan pada Allah yang satu. Hari itu Shahid merasa betapalah kerdilnya kuasa manusia. Tatkala ujian seperti itu datang, apalah gunanya wang, apalah gunanya usia muda, apalah gunanya cantik. Semuanya jadi tidak berguna tatkala sakaratul maut bakal menjemput.Dan Shahid hanya mampu berharap semoga Allah mengabulkan doa itu.

Petang selesai dia menduduki peperiksaan semester akhir tahun kedua pengajiannya di Mesir, dia menelefon Akmal. Sebelum itu Akmal ada menghantar mesej. Opah dimasukkan ke hospital, katanya.

“ Macam mana dengan Opah, mal?” ucap Shahid. Telefon ditelinganya dibetulkan. Jarak yang jauh berbatu-batu menyukarkan perbualan.

“ Entahlah Shah..susah aku nak cerita. Dah seminggu Opah tak boleh bercakap, Shah...” Dan air mata Shahid mengalir membasahi pipi. Dia seka perlahan. Ya Allah....ringankan beban Opah, Ya Allah.. Jangan sakiti dia Ya Allah.

“ Pernah sekali tu Opah tanya aku, ‘Mana Shah?’” Akmal terdiam sebentar. Terdengar dia mengeluh kecil. “ Aku rasa dia rindu sangat kat kau..” Akmal bersuara lagi. Shahid hanya mengangguk. “ Bila kau boleh balik Shah?”

“ Aku cuba, Mal. Insya Allah minggu depan” Shahid bersuara dalam sendu. “ Apa sebenarnya sakit Opah,mal?” Air matanya gugur jua.

“ Sebenarnya aku pun tak pasti apa namanya. Apa yang aku tahu, paru-paru Opah lemah. Opah terpaksa pakai alat bantuan pernafasan.”

“ Boleh aku cakap dengan Opah, mal?”teragak-agak dia bertanya.

“ Opah tak sedar sekarang, Shah... Doktor kata dia mungkin boleh dengar apa yang orang cakap cuma dia tak boleh nak balas...” kata-kata Akmal itu menambah pedih di hati. Hakikat itu terpaksa dia terima dengan redha. Opah sudah tua. Usianya hampir menjengah 80 tahun. Barangkali sudah tiba masanya.

“ Takpelah, mal. Kau tolong letak telefon ni kat telinga Opah boleh?” Dan Akmal buat seperti yang disuruh. Telefon bimbit beralih dari telinganya ke telinga Opah.

Dan Shahid berbicara dengan Opah tentang kehidupannya di Mesir. Dia cerita tentang masakan di Mesir yang tidak setanding masakan Opah. Betapa dia sayangkan Opah yang menjaganya sejak dia kecil. Betapa dia berterima kasih kerana Opah bersabar mengajar dia erti kehidupan. Dia mahu Opah tahu betapa dia sayang pada Opah. Hatinya mahu berada disitu, disisi Opah seperti mana Opah berada disisinya tatkala dia sakit. Tapi dia tidak mampu berbuat demikian.

Malam-malam berikutnya dia masih setia berdoa bersungguh-sungguh. Moga Allah beri dia kesempatan bertemu Opah, pintanya. “Ya Allah, anugerahkanlah kami, wahai Tuhan kami, penawar daripada penawarMU, dan kesembuhan daripada kesembuhanMu, keberkatan daripada keberkatanMu, rahmat daripada rahmatMu, terhadap penderitaan penderitaan yang dideritai oleh orang yang sakit dan mereka yang lemah. Sembuhkanlah, sembuhkanlah, sembuhkanlah dengan rahmatMu, ya Allah, wahai yang paling menagsihani daripada segala yang mengasihani.”(doa sumber daripada: http://blogs.iium.edu.my/martinelli)

Sehinggalah hari itu menjelma. Kapal terbang yang dinaiki Shahid tiba di Malaysia sebaik azan Asar berkumandang. Dia singgah untuk solat Asar di Masjid KLIA. Dia panjatkan rasa syukur kerana Allah beri dia kesempatan untuk berada di Malaysia pada hari ini. Dia dalam perjalanan ke teksi yang sedang menunggu di perkarangan masjid apabila panggilan dari Akmal itu tiba.

“ Shah, sabar Shah...” Dan degupan jantungnya seolah berhenti apabila Akmal menyambung bicara. Berita itu seolah meranggut segenap kebahagiaan di jiwa. Air mata yang membasahi pipi terasa begitu hangat. Perjalanan 4 jam ke Kuala Kangsar selepas itu seolah begitu lama.

Opah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Kangsar kira-kira setengah jam sebelum Asar petang itu. Hujan yang lebat seolah menangisi pemergian Opah. Opah  meninggal atas alasan  kegagalan paru-paru Opah untuk berfungsi secara normal kerana dijangkiti kuman yang menyebabkan Opah terpaksa bernafas dengan alat bantuan. Opah dikebumikan esok paginya jam 11 pagi. Sebelum jenazah Opah dikafankan Shahid pegang pipi Opah. Kulit Opah yang berkedut –kedut dan lembut terasa sangat sejuk. Bibir Opah mengukir senyuman yang sukar ditafsir. Dia kucup perlahan pipi Opah.Air mata Shahid gugur lagi.

“ Katakanlah, sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” Maksud ayat 8, Surah Al Jumu’ah yang dibacakan pak imam ketika talkin terngiang-ngiang di telinga Shahid. Akmal memegang bahunya erat-erat. Hampir setahun lamanya Shahid tidak bertemu dengan opah yang tercinta, dan hari ini, opahnya sudah bertemu Ilahi.

“ Ikhlaskanlah, Shahid. Orang yang pergi tetap pergi. Kita yang masih hidup ni kena perjuangkan amanah dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah..”suara Abang Udin mengisi pendengarannya. Abang Udin kemudian turut sama duduk bersama Shahid di serambi rumah Opah. Sememangnya itu yang cuba Shahid lakukan semenjak dia menerima khabar mengenai Opah tercinta. ‘Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.’ Hadith yang diriwayatkan Bukhari inilah yang selalu dia  ingatkan dirinya tatkala mengenang kesakitan Opah.

 “ Insya Allah, bang. Saya redha. Cuma saya terkilan tak dapat bersama Opah saat-saat terakhir dia..” ujar Shahid tenang. Abang Udin angguk mengerti. Jeda sebentar. Malam itu langit kelam tanpa sebarang bintang. Di dapur beberapa orang saudara mara membantu mengemas perkakas –perkakas yang digunakan ketika kenduri tahlil.

“ Macam mana hidup kamu di Mesir? Elok tempatnya?” tanya Abang Udin. Shahid senyum sambil mengangguk.

“ Alhamdulillah,bang. Orang kat sana baik-baik. Kebetulan kawan lama saya dari Malaysia sekampus. Mudah juga urusan saya di sana.” Abang Udin ikut senyum mendengar jawapan Shahid.

“ Baguslah. Kamu belajar betul-betul Shahid...” ujar Abang Udin mengakhiri perbualan dan bergerak pulang ke rumahnya yang bersebelahan dengan rumah Opah.

Lena Shahid malam itu dalam kepasrahan dengan ketentuan Allah. Ayat yang dibacanya sewaktu dalam perjalanan ke Malaysia diulang kembali dalam fikirannya, ‘ Dan apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun’(10:49)

 ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’(Maksud surah al-Baqarah, ayat 156)

Shahid Akmal 11

11.      Sedekad yang lalu
Berapa tahun lamanya tidak dia pandang seraut wajah yang sedang berdiri dihadapannya. Barangkali 4 atau 5 tahun. Bila kali ini wajah itu menyapa lagi pandangannya, ada rasa rindu bertaut di ruang hatinya. Opah dihadapan disalam dan dipeluk penuh kasih sayang. Opah cium pipi Shahid, kiri dan kanan. Dan Misah di sisi Opah hanya memerhati. Misah yang berbaju kurung pahang dengan selendang Pashmina yang dilit kemas manis pada pandangannya. Haih, Misah..Misah.. lawa betul kau sekarang.  Dia kemudian tunduk. Hatinya segera beristighfar.

Akmal yang baru selesai meletak kereta dipeluk Opah erat-erat.“ Dah besar beno kamu Akmal..” Opah menepuk-nepuk bahu Akmal. “ Ate sibuk beno kamu, mal.. Lama Opah nunggu kamu datang nengok Opah kat kampung tu..  Kamu ni le..” Akmal sekadar senyum. Opah ikut sama senyum. Opah kelihatan begitu bahagia di sisi Akmal. Mereka berjalan beriringan. Opah mengisi kerinduannya yang sudah terlalu lama tidak bertemu Akmal. Shahid di belakang membawakan beg yang dibawa Opah. Misah di sebelah sekadar membisu.

“ Misah sekolah mana sekarang?” tanya Shahid cuba meleraikan kebisuan antara mereka. Misah mengangkat wajah. Aduhai.. keluh hati Shahid. Lawa betul Misah sekarang.. Pandangannya segera dilarikan.

“ Misah sekolah Ta’yah kat Ipoh. Tapi sekarang tengah tunggu result SPM.” Jawab Misah. Shahid sekadar mengangguk.  Dan dia tidak lagi berani bertanya soalan. Hatinya rasa gundah gelana mendengar suara  itu.


Basikal yang mereka naiki mereka hentikan apabila melihat sesusuk tubuh sedang terbongkok-bongkok di tepi jalan sambil membetulkan sesuatu pada basikalnya.

“ Hoih, Misah! Apa kau buat kat sini memalam nih?” Akmal yang separuh menjerit mengejutkan Misah. Shahid menepuk bahu Akmal. Akmal kerling dia.

“ Taulah awek kau..” Akmal bisik di telinganya dan dia gelak kuat-kuat. Shahid sepak tayar basikalnya. Akmal diam melihat Shahid marah. Kemudian sengih mengusik. Shahid turut tersengih malu.

“ Kenapa dengan basikal ni, Misah?” dia turut sama menyangkung di sebelah Misah. Bunyi esakan menyebabkan dia pandang ke sisi.

“ Lah, yang kau nangis ni kenapa Misah?” Akmal bertanya. Misah makin kuat nangis.

“ Misah nak balik tapi rantai basikal Misah putus..”ujar Misah dalam sendu tangisnya. Akmal tergelak kecil. Shahid melihat lihat rantai yang putus itu.

“ Takpelah, Misah guna basikal Shah dulu balik rumah. Basikal ni Misah biarlah kat sini. Esok Misah suruh bapak Misah hantar gi kedai Pak Meron depan tu. Boleh ganti rantai dia.”ujar Shahid kepada Misah.

Dan malam itu dia membonceng basikal Akmal menemani Misah kerumahnya yang terletak di lorong masuk ke rumah Opah.  Dia akui dia menyimpan perasaan terhadap insan bergelar Nurin Amisah itu. Dia suka mendengar Misah mengaji tatkala kelas mengaji diadakan. Malah dia cukup suka tatkala Opah mengajak Misah bersama tiap kali mereka ke taman permainan di Pekan Kuala. Akmal tahu akan perkara itu. Malah acapkali Akmal mengusik. Misah sebenarnya anak saudara Opah. Bapanya adik bongsu Opah. Jadi Misah itu sepatutnya mak cik saudara kepada Akmal dan Shahid. Cuma usianya muda.

Mengingatkan perkara yang berlaku sedekad lalu itu menyebabkan Shahid tersenyum sendiri.

“ Heh, senyum sorang-sorang Shah..” Akmal menegur Shah.  Malam sudah tiba. Dia dan Shah tidur di ruang tamu rumah itu. Manakala Opah dan Misah tidur dalam bilik utama. Rumah itu cuma ada dua bilik, ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan dan dapur sekali. Bilik air pula cuma satu. Rumah itu bakal dia sewakan tak lama lagi. Elok begitu daripada dibiarkan kosong.

“ Baguslah aku senyum. Kang aku menangis, terkejut pulak kau nanti..”ujar Shahid disambut tawa kecil Akmal.

“ Kau tengok Misah, Shah? Lain betul dia. Aku ingat tadi anak pak arab mana. Dulu aku rasa dia montel montel sikit, kan?” kata-kata Akmal mengundang senyum di bibir Shahid. Akmal tergelak melihat Shahid begitu. “ Kau ni.. senyum pulak...haih..”

“ Takde, kau cakap pasal montel aku teringat waktu Anas ejek dia lebar dulu.. Waktu kelas mengaji. Kau ingat ?” Lantas Akmal tertawa. Shahid sekadar senyum.

Misah datang lambat sewaktu kelas mengaji hari itu. Ustaz tanya mengapa tetapi Anas yang menjawab. Katanya basikal Misah rosak sebab Misah lebar sangat. Tayar pun pancit. Habis satu kelas mentertawakan Misah.

“ Kesian dia kan? Aku pun banyak ejek dia jugak.” Akmal geleng kepala. Misah yang pendiam itu selalu disakat budak-budak lelaki di kampung. “Eh, tiba-tiba aku teringat pulak kat Anas, dia mana eh sekarang?” tanya Akmal. Anas merupakan adik bongsu Abang Udin. Rumah Anas hanya di sebelah rumah Misah.

“ Dia ke SERATAS kat Taiping, tak silap aku. Dengar cerita dia Ketua Pelajar. Aku pun jarang nampak dia kat kampung tu..” jawab Shahid. Akmal mengangguk.

“ Aku ingat lagi malam-malam macam ni waktu kita lepak kat serambi surau, baring-baring atas lantai kayu tu tiba-tiba kau cakap kau suka dia..” Akmal senyum. Shahid turut sama senyum. Dalam diam Akmal akui Shahid ada paras yang menarik, senyumannya juga manis. Tapi Shahid tidak membangga diri, mempergunakan anugerah Allah itu untuk memikat wanita jauh sekali.

“ Cerita lama, mal..” ujar Shahid. Pandangannya dihala pada syiling rumah. Kipas berpusing agak perlahan. Dia merasa sedikit panas.

“ Eh kau tak nak cuba tackle dia? Kau tanda dia sebelum kau pergi Mesir ke, minta Opah tolong risik dia....” cadang Akmal. Shahid mulanya hanya diam.

“ Aku percaya pada jodoh dan ketentuan Allah, mal. Kalau betul jodoh aku dengan dia, aku minta Allah simpan dia untuk aku .” Shahid menjawab tenang. Dia merasa usianya masih muda nak mengikat kasih. Baru menjejak 19 tahun. Dia tak bimbang hal itu. Apa yang dia gusarkan hubungan Akmal dengan Nina. Lebih-lebih lagi dia turut mengenali Nina yang hanya tinggal selang tiga buah rumah dari rumah Pak Long.

“ Kau dengan Nina macam mana, mal?” tanya Shahid. Intonasinya dijaga agar solan itu tidak terlalu cepumas. Akmal terdiam sebentar.

“ Tak tahulah..... Sejak kau tegur aku hari tu aku terasa jugak.” Akmal mengeluh perlahan. “ Aku tahu aku sayang dia tapi aku takdelah sampai rasa nak kahwin dengan dia. Tapi aku senang dengan dia.”  Dia mengalih tangan kebelakang kepala agar selesa.  “ Kau tahu, sepanjang aku dengan dia, mana pernah gaduh. Semua rasa smooth je. Nina pulak relax je dengan aku. Tak over pun nak panggil baby sayang ke. Nak merajuk ke. Itu yang aku sayang tu...” Shahid mengangguk faham.

“ Kau dengan dia pernah pegang tangan ?” Shahid bertanya lagi. Akmal hanya diam. Cuba mengingati barangkali. “ Rasulullah pernah sampaikan sebuah hadith pada kita bab-bab hubungan dengan perempuan ni, mal. Maksud hadith tu, ‘Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.’” Ujar Shahid.

“ Dalam satu hadis lain pula, Rasulullah pesan kat kita yang tidak beriman seseorang dari kamu sekiranya nafsunya tidak mengikuti apa yang aku bawa.” Akmal tekun mendengar. “ Kau kena tahu mal, dunia kita  ini penuh dengan perhiasan tetapi perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.” Sambung Shahid lagi. “ Ini hadith ni, mal. Nak jadi wanita yang solehah bukan senang. Kalau kau sayangkan Nina ,mal , sepatutnya kau bimbing dia.” Akmal memandang Shahid. Wajah Shahid masih tenang. Bicaranya yang penuh hikmah menawan hati Akmal untuk terus mendengar.

“ Rasulullah tinggalkan kita dengan hadith-hadithnya  yang lengkap untuk panduan kita semua. Nak pilih calon isteri pun ada hadithnya,mal.” Shahid kemudian menyambung lagi, “ Rasulullah pesan kat kaum lelaki, janganlah kamu menikah dengan seorang wanita kerana kecantikannya, sebab nanti kecantikannya itu akan membinasakannya,  janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, sebab harta boleh menjadikan kamu derhaka, sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” Akmal menghela nafas panjang. Astaghfirullahal ‘Azim.. betapa selama ini dia tidak mengendahkan pesanan-pesanan Rasulullah. Apalagi nak mempraktikkan dalam kehidupan.

“ Tapi Shah... bukan senang nak berubah...” Akmal mengeluh.

“ Melawan nafsu itu mungkin sangat sukar, mal. Tapi apalah sangat indahnya sebuah hubungan itu kalau terpaksa kita korbankan amanat yang Nabi tinggalkan pada kita?” Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.  Malam itu Shahid lena dengan memorinya masih mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku sedekad yang lalu.

Shahid Akmal 10

10.      Insan yang dirindu
Pagi jumaat itu usai dia mengemaskan bagasinya buat kali terakhir, dia kembali memeriksa bilik yang bakal ditinggalkan itu. Setahun dia menetap di kamar yang Pak Long sediakan untuknya. Pak Long yang beria-ia mahukan dia tinggal disitu sementara masih ada setahun lagi pengajiannya di Gombak. Dan akhirnya dia bersetuju. Dia keluar dari bilik ke ruang makan.

“ Insya Allah Pak Long hantar kamu ke KLIA nanti. Pak Long ambil cuti hari tu, jadi hari ni Pak Long kena pula berkerja. Kamu tak kisah Akmal yang ngantar kamu ke Banting sana?” Pak Long bertanya sewaktu mereka bertiga sedang menjamah roti canai.

“ Eh, takpe Pak Long. Ada Akmal hantarkan pun bagus juga.” Shahid membalas dengan senyuman. Selesai makan dia dan Akmal bertolak ke Banting. Shahid mahu melihat dahulu ruumah tersebut sebelum Opah dan Misah tiba nanti.

Mereka tiba sebelum Zohor, dan rumah itu kelihatan sama seperti sedekad yang lalu. Dia melihat buaian yang didirikan abahnya pada pokok ketapang di perkarangan rumahnya. Buaian itu diperbuat daripada tayar lori yang besar. Abah lintangkan tayar tersebut supaya lebih selesa dia duduk. Talinya kelihatan rapuh.

“ Ada lagi buaian nih..” Shahid tergelak kecil. Akmal turut senyum.Dia memandang Akmal. “Try jom.” Dan sebentar kemudian dia dan Akmal sama-sama berlari ke arah pokok tersebut.

“ Gila kau. Tahan lagi nih.” Kata Akmal diiringi gelak tawa mereka berdua. Mereka bergilir-gilir menaiki buaian tersebut. Dalam hatinya Shahid bersyukur kerana Allah memberinya peluang meluangkan masa bersama Akmal sebelum dia ke Mesir.

“ Eh kau ingat lagu yang kau pasang dalam bilik kau?” Akmal bertanya. Shahid mengangguk.

“ Lagu favorite aku tu. Kenapa ?” Shahid bertanya semula.

“ Masyuk lagu tuh. Aku suka. Selama ni aku rasa aku asyik dengar lagu-lagu yang..haih.. entahlah.” Akmal berhenti membuai Shahid. “ Aku tiba-tiba rasa betapa bodohnya lagu-lagu yang aku dengar selama ni.” Akmal kemudian duduk di atas kerusi berhampiran sebelum menyambung bicara, “ Ada satu lagu yang biasa aku dengar tu, dia mencarut-carut kat mak dia sebab lahirkan dia dan jadikan dia drug addict. Sebelum ni aku dengar biasa je... baru sekarang aku rasa bodohnya lagu tu..” Akmal bersuara perlahan. Dia meraup wajahnya.

“ Kau tau, masa aku pergi kem Gegar Remaja Islam, ada sorang sis ni cerita pasal apa yang kau cakap tadilah. Lagu-lagu yang tak bermoral... Sekali dia pasang lagu ni.” Shahid berdehem. Dia kemudian menyanyikan beberapa bait dari lagu Senyum, nyanyian Malique bersama Najwa. Lagu itu dipasang Sister Iman sewaktu kem tersebut dua tahun yang lalu.

“ Hoih, sedap gila suara kau. Kau boleh menyanyi bhai..” Dan dia gelak dengan galaknya. Shahid turut sama tertawa.

“ Sebenarnya, time darjah 6 aku yang wakil Amal Islami. Vokalis kumpulan.” Shahid memberitahu. Akmal bulatkan mata.

“ Biar betul, Shah?” Bahu Shahid dipegangnya. Shahid sekadar mengangguk. Akmal geleng kepala tidak percaya. “ Kau pengganti Alep keping yang suara masyuk gila tuh?” Akmal tanya lagi. Shahid angguk. Kali ini lebih bersungguh-sungguh. Andai waktu itu boleh berputar kembali, dia teringin berkongsi saat itu dengan Akmal. Mana tidaknya, memang impian mereka berdua menyertai kumpulan nashid sekolah yang acapkali Johan sampai ke peringkat negeri.

“ Sebenarnya, kalau kau cari-cari lagu-lagu yang bermesej ni banyak sangat. Muziknya pula jauh lagi sedap dari lagu-lagu yang biasa anak-anak muda dengar sekarang.” Shahid menyambung. “ Setiap kali aku pergi kem, mesti ada je lagu-lagu menarik yang dipasang. Aku pun lama-lama jatuh cinta dengan muzik islam ni.” Terang Shahid lagi. Akmal mengangguk.

“ Kau kenal Zain Bhikha ?” tanya Shahid. Akmal menggeleng. “ Dia ni bagus. Dia hanya nyanyi dengan bunyi gendang sebab peralatan muzik yang bertali haram. Tapi lagu-lagu dia bagus. Dia siap ada studio sendiri lagi. Kau tahu lagu My Mother?” Akmal sekadar buat muka pelik. “ Ala yang suara budak-budak, tanya ‘Who next?’ lepas tu ada orang jawab ‘ Your mother’..”sambung Shahid lagi.  Bibir Akmal membentuk ‘ohh..’ Shahid sambung lagi, “ Itu anak dia Rashid Bhikha yang nyanyi. Kalau kau cuba dengar, tak perlu guna muzik yang bagai nak rak pun orang suka lagu dia..”jelas Shahid panjang lebar.

Azan Zohor yang berkumandang dari masjid berhampiran mematikan perbualan mereka. Kereta kemudian dipandu Akmal ke masjid tersebut. Mesej yang masuk sewaktu azan tadi mewujudkan debar di hati Akmal dan Shahid. Sebentar lagi mereka akan menjemput insan yang mereka rindui.