Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 11

11.      Sedekad yang lalu
Berapa tahun lamanya tidak dia pandang seraut wajah yang sedang berdiri dihadapannya. Barangkali 4 atau 5 tahun. Bila kali ini wajah itu menyapa lagi pandangannya, ada rasa rindu bertaut di ruang hatinya. Opah dihadapan disalam dan dipeluk penuh kasih sayang. Opah cium pipi Shahid, kiri dan kanan. Dan Misah di sisi Opah hanya memerhati. Misah yang berbaju kurung pahang dengan selendang Pashmina yang dilit kemas manis pada pandangannya. Haih, Misah..Misah.. lawa betul kau sekarang.  Dia kemudian tunduk. Hatinya segera beristighfar.

Akmal yang baru selesai meletak kereta dipeluk Opah erat-erat.“ Dah besar beno kamu Akmal..” Opah menepuk-nepuk bahu Akmal. “ Ate sibuk beno kamu, mal.. Lama Opah nunggu kamu datang nengok Opah kat kampung tu..  Kamu ni le..” Akmal sekadar senyum. Opah ikut sama senyum. Opah kelihatan begitu bahagia di sisi Akmal. Mereka berjalan beriringan. Opah mengisi kerinduannya yang sudah terlalu lama tidak bertemu Akmal. Shahid di belakang membawakan beg yang dibawa Opah. Misah di sebelah sekadar membisu.

“ Misah sekolah mana sekarang?” tanya Shahid cuba meleraikan kebisuan antara mereka. Misah mengangkat wajah. Aduhai.. keluh hati Shahid. Lawa betul Misah sekarang.. Pandangannya segera dilarikan.

“ Misah sekolah Ta’yah kat Ipoh. Tapi sekarang tengah tunggu result SPM.” Jawab Misah. Shahid sekadar mengangguk.  Dan dia tidak lagi berani bertanya soalan. Hatinya rasa gundah gelana mendengar suara  itu.


Basikal yang mereka naiki mereka hentikan apabila melihat sesusuk tubuh sedang terbongkok-bongkok di tepi jalan sambil membetulkan sesuatu pada basikalnya.

“ Hoih, Misah! Apa kau buat kat sini memalam nih?” Akmal yang separuh menjerit mengejutkan Misah. Shahid menepuk bahu Akmal. Akmal kerling dia.

“ Taulah awek kau..” Akmal bisik di telinganya dan dia gelak kuat-kuat. Shahid sepak tayar basikalnya. Akmal diam melihat Shahid marah. Kemudian sengih mengusik. Shahid turut tersengih malu.

“ Kenapa dengan basikal ni, Misah?” dia turut sama menyangkung di sebelah Misah. Bunyi esakan menyebabkan dia pandang ke sisi.

“ Lah, yang kau nangis ni kenapa Misah?” Akmal bertanya. Misah makin kuat nangis.

“ Misah nak balik tapi rantai basikal Misah putus..”ujar Misah dalam sendu tangisnya. Akmal tergelak kecil. Shahid melihat lihat rantai yang putus itu.

“ Takpelah, Misah guna basikal Shah dulu balik rumah. Basikal ni Misah biarlah kat sini. Esok Misah suruh bapak Misah hantar gi kedai Pak Meron depan tu. Boleh ganti rantai dia.”ujar Shahid kepada Misah.

Dan malam itu dia membonceng basikal Akmal menemani Misah kerumahnya yang terletak di lorong masuk ke rumah Opah.  Dia akui dia menyimpan perasaan terhadap insan bergelar Nurin Amisah itu. Dia suka mendengar Misah mengaji tatkala kelas mengaji diadakan. Malah dia cukup suka tatkala Opah mengajak Misah bersama tiap kali mereka ke taman permainan di Pekan Kuala. Akmal tahu akan perkara itu. Malah acapkali Akmal mengusik. Misah sebenarnya anak saudara Opah. Bapanya adik bongsu Opah. Jadi Misah itu sepatutnya mak cik saudara kepada Akmal dan Shahid. Cuma usianya muda.

Mengingatkan perkara yang berlaku sedekad lalu itu menyebabkan Shahid tersenyum sendiri.

“ Heh, senyum sorang-sorang Shah..” Akmal menegur Shah.  Malam sudah tiba. Dia dan Shah tidur di ruang tamu rumah itu. Manakala Opah dan Misah tidur dalam bilik utama. Rumah itu cuma ada dua bilik, ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan dan dapur sekali. Bilik air pula cuma satu. Rumah itu bakal dia sewakan tak lama lagi. Elok begitu daripada dibiarkan kosong.

“ Baguslah aku senyum. Kang aku menangis, terkejut pulak kau nanti..”ujar Shahid disambut tawa kecil Akmal.

“ Kau tengok Misah, Shah? Lain betul dia. Aku ingat tadi anak pak arab mana. Dulu aku rasa dia montel montel sikit, kan?” kata-kata Akmal mengundang senyum di bibir Shahid. Akmal tergelak melihat Shahid begitu. “ Kau ni.. senyum pulak...haih..”

“ Takde, kau cakap pasal montel aku teringat waktu Anas ejek dia lebar dulu.. Waktu kelas mengaji. Kau ingat ?” Lantas Akmal tertawa. Shahid sekadar senyum.

Misah datang lambat sewaktu kelas mengaji hari itu. Ustaz tanya mengapa tetapi Anas yang menjawab. Katanya basikal Misah rosak sebab Misah lebar sangat. Tayar pun pancit. Habis satu kelas mentertawakan Misah.

“ Kesian dia kan? Aku pun banyak ejek dia jugak.” Akmal geleng kepala. Misah yang pendiam itu selalu disakat budak-budak lelaki di kampung. “Eh, tiba-tiba aku teringat pulak kat Anas, dia mana eh sekarang?” tanya Akmal. Anas merupakan adik bongsu Abang Udin. Rumah Anas hanya di sebelah rumah Misah.

“ Dia ke SERATAS kat Taiping, tak silap aku. Dengar cerita dia Ketua Pelajar. Aku pun jarang nampak dia kat kampung tu..” jawab Shahid. Akmal mengangguk.

“ Aku ingat lagi malam-malam macam ni waktu kita lepak kat serambi surau, baring-baring atas lantai kayu tu tiba-tiba kau cakap kau suka dia..” Akmal senyum. Shahid turut sama senyum. Dalam diam Akmal akui Shahid ada paras yang menarik, senyumannya juga manis. Tapi Shahid tidak membangga diri, mempergunakan anugerah Allah itu untuk memikat wanita jauh sekali.

“ Cerita lama, mal..” ujar Shahid. Pandangannya dihala pada syiling rumah. Kipas berpusing agak perlahan. Dia merasa sedikit panas.

“ Eh kau tak nak cuba tackle dia? Kau tanda dia sebelum kau pergi Mesir ke, minta Opah tolong risik dia....” cadang Akmal. Shahid mulanya hanya diam.

“ Aku percaya pada jodoh dan ketentuan Allah, mal. Kalau betul jodoh aku dengan dia, aku minta Allah simpan dia untuk aku .” Shahid menjawab tenang. Dia merasa usianya masih muda nak mengikat kasih. Baru menjejak 19 tahun. Dia tak bimbang hal itu. Apa yang dia gusarkan hubungan Akmal dengan Nina. Lebih-lebih lagi dia turut mengenali Nina yang hanya tinggal selang tiga buah rumah dari rumah Pak Long.

“ Kau dengan Nina macam mana, mal?” tanya Shahid. Intonasinya dijaga agar solan itu tidak terlalu cepumas. Akmal terdiam sebentar.

“ Tak tahulah..... Sejak kau tegur aku hari tu aku terasa jugak.” Akmal mengeluh perlahan. “ Aku tahu aku sayang dia tapi aku takdelah sampai rasa nak kahwin dengan dia. Tapi aku senang dengan dia.”  Dia mengalih tangan kebelakang kepala agar selesa.  “ Kau tahu, sepanjang aku dengan dia, mana pernah gaduh. Semua rasa smooth je. Nina pulak relax je dengan aku. Tak over pun nak panggil baby sayang ke. Nak merajuk ke. Itu yang aku sayang tu...” Shahid mengangguk faham.

“ Kau dengan dia pernah pegang tangan ?” Shahid bertanya lagi. Akmal hanya diam. Cuba mengingati barangkali. “ Rasulullah pernah sampaikan sebuah hadith pada kita bab-bab hubungan dengan perempuan ni, mal. Maksud hadith tu, ‘Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.’” Ujar Shahid.

“ Dalam satu hadis lain pula, Rasulullah pesan kat kita yang tidak beriman seseorang dari kamu sekiranya nafsunya tidak mengikuti apa yang aku bawa.” Akmal tekun mendengar. “ Kau kena tahu mal, dunia kita  ini penuh dengan perhiasan tetapi perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.” Sambung Shahid lagi. “ Ini hadith ni, mal. Nak jadi wanita yang solehah bukan senang. Kalau kau sayangkan Nina ,mal , sepatutnya kau bimbing dia.” Akmal memandang Shahid. Wajah Shahid masih tenang. Bicaranya yang penuh hikmah menawan hati Akmal untuk terus mendengar.

“ Rasulullah tinggalkan kita dengan hadith-hadithnya  yang lengkap untuk panduan kita semua. Nak pilih calon isteri pun ada hadithnya,mal.” Shahid kemudian menyambung lagi, “ Rasulullah pesan kat kaum lelaki, janganlah kamu menikah dengan seorang wanita kerana kecantikannya, sebab nanti kecantikannya itu akan membinasakannya,  janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, sebab harta boleh menjadikan kamu derhaka, sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” Akmal menghela nafas panjang. Astaghfirullahal ‘Azim.. betapa selama ini dia tidak mengendahkan pesanan-pesanan Rasulullah. Apalagi nak mempraktikkan dalam kehidupan.

“ Tapi Shah... bukan senang nak berubah...” Akmal mengeluh.

“ Melawan nafsu itu mungkin sangat sukar, mal. Tapi apalah sangat indahnya sebuah hubungan itu kalau terpaksa kita korbankan amanat yang Nabi tinggalkan pada kita?” Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.  Malam itu Shahid lena dengan memorinya masih mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku sedekad yang lalu.

No comments:

Post a Comment