Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 12

 12.Ujian dari Allah
Petang yang panas itu terasa lebih membahang dari biasa. Berita yang didengarnya pagi tadi buatkan dia tidak senang duduk. Kalendar dihadapannya ditenung lama. Buku perubatan yang terbuka diatas meja ditutup. Tangannya mengurut-ngurut bahu yang terasa lenguh. Gambar Opah tercinta yang dia selit di papan notis itu dia tatap.

“ Opah sakit, Shah..”suara Pak Long kedengaran di hujung talian. “ Tak boleh ke kamu balik sekejap?” Pak Long bersuara lagi. “ Opah rindu bebeno dengan kamu, Shah..” Shahid hanya diam membisu.
Otaknya ligat berfikir. Mana mungkin dia pulang dalam masa terdekat. Peperiksaan semester ini akan bermula esok. Peperiksaan sahaja makan masa lebih seminggu. Tiket juga perlu ditempah. Baitulmal perlu dimaklumkan terlebih dahulu. Paling tidak 2 minggu lagi baru dia boleh pulang.

Tapi Opah sudah terlalu tenat. Jalannya mesti dipimpin. Pernafasannya tersekat-sekat. Malah Opah selalu mengadu sesak nafas. Nasib baik Pak Long yang sudah pencen ada untuk menjaga Opah. Akmal yang sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian juga ada menjenguk sekali-sekala.

“ Insya Allah, Pak Long. Shahid cuba.” Dan dia hanya mampu berdoa.

Malam itu Shahid panjangkan sujud terakhirnya. Tahajjud sudah menjadi rutinnya semenjak dia bersekolah di Gombak lagi.  Setiap malam dia dan beberapa orang sahabat yang lain akan turun ke surau untuk solat sunat. Hadith yang dikongsi oleh Hilal sewaktu dia menyertai sebuah kem dulu tidak pernah dia lupakan.

“ Sebenarnya bab-bab bangun malam ni telah Rasulullah terangkan dengan jelas dalam beberapa buah hadith.”ucap Hilal kepada jemaah yang menyertai kem tersebut. “ Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya, ‘Syaitan akan mengikat kamu dengan 3 simpulan pada belakang kepala ketika kamu tidur. Pada setiap simpul dia berkata : Malam masih panjang, maka teruskan tidurmu..” Hilal diam sebentar.

“Apabila seseorang itu bangun dan mengingati Allah, maka terlepaslah satu simpul. Apabila dia berwuduk, terlepas pula  simpul kedua, apabila dia mengerjakan solat, maka terlepas pula simpul yang ketiga. Dan pada pagi harinya (Subuh) dia akan bangun dengan penuh semangat dan dalam keadaan hati yang baik; sebaliknya, jika dia tidak melakukan perkara tersebut (mengingati Allah, berwuduk dan solat malam), dia akan bangun pagi dalam keadaan hati yang buruk dan malas.” Jelas Hilal. Hadith itulah yang menguatkan Shahid untuk bangun setiap malam. Lama-lama kekuatan itu datang sendiri.

Malam itu tidak seperti malam sebelumnya, dalam solatnya dia menangis. Esakannya tidak kuat, tetapi air matanya terus-terusan mengalir. Doanya diulang berkali-kali. Dia yakinkan hatinya Allah akan kabulkan doa itu.  Dalam ketidakupayaan dia berdoa pada Allah yang Maha Agung. Permintaannya cuma satu, berilah kesempatan untuk menatap wajah Opah. Harapan itu dia sandarkan pada Allah yang satu. Hari itu Shahid merasa betapalah kerdilnya kuasa manusia. Tatkala ujian seperti itu datang, apalah gunanya wang, apalah gunanya usia muda, apalah gunanya cantik. Semuanya jadi tidak berguna tatkala sakaratul maut bakal menjemput.Dan Shahid hanya mampu berharap semoga Allah mengabulkan doa itu.

Petang selesai dia menduduki peperiksaan semester akhir tahun kedua pengajiannya di Mesir, dia menelefon Akmal. Sebelum itu Akmal ada menghantar mesej. Opah dimasukkan ke hospital, katanya.

“ Macam mana dengan Opah, mal?” ucap Shahid. Telefon ditelinganya dibetulkan. Jarak yang jauh berbatu-batu menyukarkan perbualan.

“ Entahlah Shah..susah aku nak cerita. Dah seminggu Opah tak boleh bercakap, Shah...” Dan air mata Shahid mengalir membasahi pipi. Dia seka perlahan. Ya Allah....ringankan beban Opah, Ya Allah.. Jangan sakiti dia Ya Allah.

“ Pernah sekali tu Opah tanya aku, ‘Mana Shah?’” Akmal terdiam sebentar. Terdengar dia mengeluh kecil. “ Aku rasa dia rindu sangat kat kau..” Akmal bersuara lagi. Shahid hanya mengangguk. “ Bila kau boleh balik Shah?”

“ Aku cuba, Mal. Insya Allah minggu depan” Shahid bersuara dalam sendu. “ Apa sebenarnya sakit Opah,mal?” Air matanya gugur jua.

“ Sebenarnya aku pun tak pasti apa namanya. Apa yang aku tahu, paru-paru Opah lemah. Opah terpaksa pakai alat bantuan pernafasan.”

“ Boleh aku cakap dengan Opah, mal?”teragak-agak dia bertanya.

“ Opah tak sedar sekarang, Shah... Doktor kata dia mungkin boleh dengar apa yang orang cakap cuma dia tak boleh nak balas...” kata-kata Akmal itu menambah pedih di hati. Hakikat itu terpaksa dia terima dengan redha. Opah sudah tua. Usianya hampir menjengah 80 tahun. Barangkali sudah tiba masanya.

“ Takpelah, mal. Kau tolong letak telefon ni kat telinga Opah boleh?” Dan Akmal buat seperti yang disuruh. Telefon bimbit beralih dari telinganya ke telinga Opah.

Dan Shahid berbicara dengan Opah tentang kehidupannya di Mesir. Dia cerita tentang masakan di Mesir yang tidak setanding masakan Opah. Betapa dia sayangkan Opah yang menjaganya sejak dia kecil. Betapa dia berterima kasih kerana Opah bersabar mengajar dia erti kehidupan. Dia mahu Opah tahu betapa dia sayang pada Opah. Hatinya mahu berada disitu, disisi Opah seperti mana Opah berada disisinya tatkala dia sakit. Tapi dia tidak mampu berbuat demikian.

Malam-malam berikutnya dia masih setia berdoa bersungguh-sungguh. Moga Allah beri dia kesempatan bertemu Opah, pintanya. “Ya Allah, anugerahkanlah kami, wahai Tuhan kami, penawar daripada penawarMU, dan kesembuhan daripada kesembuhanMu, keberkatan daripada keberkatanMu, rahmat daripada rahmatMu, terhadap penderitaan penderitaan yang dideritai oleh orang yang sakit dan mereka yang lemah. Sembuhkanlah, sembuhkanlah, sembuhkanlah dengan rahmatMu, ya Allah, wahai yang paling menagsihani daripada segala yang mengasihani.”(doa sumber daripada: http://blogs.iium.edu.my/martinelli)

Sehinggalah hari itu menjelma. Kapal terbang yang dinaiki Shahid tiba di Malaysia sebaik azan Asar berkumandang. Dia singgah untuk solat Asar di Masjid KLIA. Dia panjatkan rasa syukur kerana Allah beri dia kesempatan untuk berada di Malaysia pada hari ini. Dia dalam perjalanan ke teksi yang sedang menunggu di perkarangan masjid apabila panggilan dari Akmal itu tiba.

“ Shah, sabar Shah...” Dan degupan jantungnya seolah berhenti apabila Akmal menyambung bicara. Berita itu seolah meranggut segenap kebahagiaan di jiwa. Air mata yang membasahi pipi terasa begitu hangat. Perjalanan 4 jam ke Kuala Kangsar selepas itu seolah begitu lama.

Opah meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Kangsar kira-kira setengah jam sebelum Asar petang itu. Hujan yang lebat seolah menangisi pemergian Opah. Opah  meninggal atas alasan  kegagalan paru-paru Opah untuk berfungsi secara normal kerana dijangkiti kuman yang menyebabkan Opah terpaksa bernafas dengan alat bantuan. Opah dikebumikan esok paginya jam 11 pagi. Sebelum jenazah Opah dikafankan Shahid pegang pipi Opah. Kulit Opah yang berkedut –kedut dan lembut terasa sangat sejuk. Bibir Opah mengukir senyuman yang sukar ditafsir. Dia kucup perlahan pipi Opah.Air mata Shahid gugur lagi.

“ Katakanlah, sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” Maksud ayat 8, Surah Al Jumu’ah yang dibacakan pak imam ketika talkin terngiang-ngiang di telinga Shahid. Akmal memegang bahunya erat-erat. Hampir setahun lamanya Shahid tidak bertemu dengan opah yang tercinta, dan hari ini, opahnya sudah bertemu Ilahi.

“ Ikhlaskanlah, Shahid. Orang yang pergi tetap pergi. Kita yang masih hidup ni kena perjuangkan amanah dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah..”suara Abang Udin mengisi pendengarannya. Abang Udin kemudian turut sama duduk bersama Shahid di serambi rumah Opah. Sememangnya itu yang cuba Shahid lakukan semenjak dia menerima khabar mengenai Opah tercinta. ‘Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.’ Hadith yang diriwayatkan Bukhari inilah yang selalu dia  ingatkan dirinya tatkala mengenang kesakitan Opah.

 “ Insya Allah, bang. Saya redha. Cuma saya terkilan tak dapat bersama Opah saat-saat terakhir dia..” ujar Shahid tenang. Abang Udin angguk mengerti. Jeda sebentar. Malam itu langit kelam tanpa sebarang bintang. Di dapur beberapa orang saudara mara membantu mengemas perkakas –perkakas yang digunakan ketika kenduri tahlil.

“ Macam mana hidup kamu di Mesir? Elok tempatnya?” tanya Abang Udin. Shahid senyum sambil mengangguk.

“ Alhamdulillah,bang. Orang kat sana baik-baik. Kebetulan kawan lama saya dari Malaysia sekampus. Mudah juga urusan saya di sana.” Abang Udin ikut senyum mendengar jawapan Shahid.

“ Baguslah. Kamu belajar betul-betul Shahid...” ujar Abang Udin mengakhiri perbualan dan bergerak pulang ke rumahnya yang bersebelahan dengan rumah Opah.

Lena Shahid malam itu dalam kepasrahan dengan ketentuan Allah. Ayat yang dibacanya sewaktu dalam perjalanan ke Malaysia diulang kembali dalam fikirannya, ‘ Dan apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun’(10:49)

 ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.’(Maksud surah al-Baqarah, ayat 156)

No comments:

Post a Comment