Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 4

4.   Angan dan Cita
Sampul surat bersaiz A4 itu dipegang kemas. Opah di hadapan direnungnya.

“ Apa kamu tunggu lagi, Shahid. Bukalah sampul tu. Apa nama tulisannya? Cuba kamu baca?” Opah bersuara selepas seketika.

“ Kalau sekolahnya jauh macam mana, pah?” Shahid bersuara dalam kerisauan. Takkan mampu dia membiarkan opah yang telah menjaganya sejak kecil bersendirian di kampung itu.

“ Kamu ni Shahid, aku ni hidup 69 tahun bukan kamu jaga aku. Aku jaga kamu.” Kata-kata opah mengundang senyum di bibirnya. Opah masih mampu bergurau dikala dia kerisauan. Opah sangat mengagumkan dirinya. Walau usia opah menginjak ke usia senja, dia masih mampu ke pasar di pagi hari, ke mensyuarat  AJK Kampung Sayong Mesjid, masih mampu bermain rebana dan lain-lain lagi. Malah opah menjadi ketua keluarga yang terdiri daripada dia dan opah. Shahid tersenyum lagi.

Tangannya lantas membuka sampul di tangan. Surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dibaca perlahan.

MUHAMMAD SHAHID BIN ZAID MOKHTAR
TAHNIAH ! ANDA MENDAPAT TAWARAN KE SBPI GOMBAK.

Degupan di jantung bagai terhenti. Mindanya segera mengingati seorang sahabat yang sudah sekian lama tidak bertemu. Akmal Sharidan bin Suhaimi. Anak Pak Longnya  yang merupakan anak angkat Opah. Dia mendapat tawaran bersekolah dengan Akmal, cucu kepada anak angkat opah yang merupakan sahabat baiknya sejak lahir.

“ Hah, apa nama tulisnya, Shahid? Ce bacakan, mata Opah ni tak mahunya dah tulisan macam ni.” Opah membelek surat di tangan Shahid.

“ Shahid dapat sekolah dengan Akmal, pah. Di Gombak.” Shahid bersuara perlahan. Terasa seolah Allah mengabulkan doanya selama ini.

“ Akmal? Anak Pak Long kamu?” Opah bertanya dalam tidak percaya. Shahid dipandangnya. Shahid sekadarr mengangguk perlahan. Air mata opah mengalir. Shahid didakapnya erat-erat.

“ Ya Allah, Shahid...”  Dan lafaz Alhamdulillah diucap Opah berkali-kali.


Beg diturunkan dari kereta. Baldi dan barang-barang lain turut diturunkan. Shahid memandang Opah di hadapannya. Sementara Pak Long berurusan dengan penjaga asrama.

“ Kamu jaga diri kamu baik-baik, Shahid. Ingat pesan mak ayah kamu.” Opah bersuara perlahan. Air matanya mengalir membasahi pipinya yang tua. Kedutnya sudah seribu, fikir Shahid. Hatinya masih ragu-ragu meninggalkan opah yang sudah tua bersendirian di kampung. Opah sudah terlalu tua. Mampukah Opah hidup bersendirian?

“ Opah, Opah jaga diri baik-baik. Kalau Opah nak apa-apa, Opah minta Abang Udin belikan. Shahid dah cakap dengan dia. Kalau Opah nak potong kuku, Opah suruh Misah potongkan. Shahid dah cakap dengan dia. Kalau Opah tak larat pergi beli ikan, Kak Mas isteri Abang Udin tu boleh belikan..” Air mata Shahid turut tumpah. Opah menggeleng-geleng kepala.

“ Apa yang kamu risau bebeno, Shahid? Kamu tu jaga solat kamu. Belajar elok-elok. Aku tahu la nanti apa yang nak dibuat. Usah kamu risau.” Mereka kemudiannya memeluk satu sama lain. Opah memegang tangan Shahid lantas dihulurkannya sesuatu. Shahid mengambil buku kecil tersebut. Buku Simpanan Tabung  Haji itu direnungnya.

“ Duit mak ayah kamu semua ada kat situ Shahid. Opah ambil sikit-sikit nak beli barang-barang kamu dulu. Yang lain semua ada kat situ, usah kamu risau.” Shahid memandang opah dengan rasa tak percaya.

“ Shahid nak buat apa duit banyak-banyak ni, opah?” Opah sekadar tersenyum.

“ Kamu gunalah apa yang patut Shahid. Kalau tak banyak gunanya, biarlah kat situ. Elok juga. Cepat kamu buat haji nanti.”Opah bersuara perlahan. Pesanan Opah tersemat di dada sampailah akhir pengajiannya. Dan dia mengerjakan haji bersama opah akhir tahun hadapannya, selesai dia menduduki SPM.

No comments:

Post a Comment