Thursday, April 30, 2015

Shahid Akmal 8

1.     8. Masjid Asy- Syakirin
“ Mal, minggu ni kita balik sama. Pak Long suruh aku ikut je kau.” Shahid bersuara sewaktu dia singgah ke padang petang itu. Akmal dipanggilnya ke tepi padang.

“  Oraitlah. Aku biasa balik dengan dorang sama.” Mulutnya dijuih ke arah beberapa lagi budak laki yang sedang bersukan di padang. “ Tapi singgah KLCC dulu ah. Ada cerita baru. Kau okay tak?” Akmal bertanya. Dia sedang duduk mencangkung sambil membetul tali kasut. Shahid sekadar senyum.

“ Insya Allah.. Kau balik kampung sama nanti?” Shahid bertanya perlahan. Dia menanti jawapan seketika. Selalu kalau Pak Long bertandang ke kampung Akmal jarang-jarang ikut sama.  Banyak halnya di rumah. Itu alasan yang dia selalu beri. Futsal barangkali.

“ Tengok dulu. Aku ada training dengan senior sekolah kita. Rugby.” Shahid mengangguk. Akmal kemudian menyambung rutin hariannya di padang. Shahid berlalu ke Dewan Gemilang, dewan sekolah mereka yang menjadi tempat pelajar-pelajar bermain badminton. Dia dan Ifwat gemar kesitu untuk beriadah kala petang hari. Lebih baik disitu, Shahid berfikir. Daripada menyaksikan maksiat berlaku di padang sekolah yang besar itu.Dengan ikhtilat yang langsung tidak dijaga antara lelaki dan perempuan. Dengan aurat yang terdedah di sana- sini.


“ Aku beli tiket dulu.” Akmal bersuara. Shahid memegang beg yang dibawa Akmal. Mereka berada di Putra Gombak. Shahid cuba mengingati apa yang perlu dibuat dan sebagainya supaya dia tak perlu lagi bergantung pada Akmal lain kali.  “ Kita gerak gi KLCC dulu.” Akmal bersuara lagi. Selesai tiket dibeli, dia dan Shahid bergerak ke KLCC bersama.

“ Mal, kau masuk tengok cerita nanti, aku ingat nak lepak luar.” Ujar Shahid bersahaja.  Akmal memandangnya.

“ Kau nak pergi mana?” Akmal bertanya. Tren ke KLCC bergerak laju. Mereka berdua duduk bersebelahan di hujung tren.  Orang ramai keluar masuk di setiap stesen.

“ Aku ingat nak lepak- lepak je kat sana nanti.” Shahid menjawab. Akmal sekadar mengangguk. Sampai di KLCC, dia dan beberapa orang kawan yang lain berlalu ke tingkat atas. Shahid keluar ke perkarangan KLCC. Dia mengingati perbualannya dengan Afif sewaktu di kelas tempoh hari.

“ Ala, kau tak nak masuk. Kau keluarla. Senang. Habis cerita.” Afif bersuara tenang. Shahid menyuarakan padanya kebimbangannya  untuk ke KLCC  bersama Akmal nanti. Afif sekadar tergelak pada mulanya. Hanya menonton wayang bukanlah satu masalah besar padanya.  Melihatkan Shahid bersungguh-sungguh risau, dia kembali serius.

“ Keluar. Lepas tu?” Shahid bertanya lagi. Kalau boleh dia sememangnya tidak mahu mendedahkan dirinya pada wayang. Itu impian yang disemat setelah dia menyertai  Kem Gegar Remaja Islam anjuran ISMA tempoh hari. Pertemuannya dengan Hilal dan Syafiq membuatkan dia bercita-cita sebegitu.  Usia mereka berdua yang setahun lebih muda daripada Shahid mengangumkan dia. Ilmu yang mereka kongsi sepanjang di kem menyedarkan Shahid betapa dia masih kurang serba serbi dalam hal-hal agama.

“ Kau geraklah pergi  Masjid  Syakirin depan depan tu.” Afif mencadangkan.

“ Kau sure ke depan-depan tu je?”

“ Yelah. Takdenye kau sesat nanti.” Dan Shahid sedang berdiri di hadapan masjid itu kini. Dia masuk dan duduk di satu penjuru masjid. Dia berkira-kira untuk duduk di situ sementara menunggu Akmal selesai urusan di KLCC.

“ Assalamualaikum, brother.” Satu suara menyapa. Mata yang tadinya dipejam sambil lidahnya berzikir mengingati Allah dibuka.

“ Waalaikumussalam..” Shahid menjawab. Tangan yang dihulur dihadapannya di sambut. Tangan itu milik seseorang yang baru tadi dia terkenang. “ Masya Allah.. tak sangka Allah pertemukan kita di sini.” Shahid bersuara dalam kegembiraan. Hilal yang berdiri di hadapan dipeluknya dengan rasa bersyukur.

“ Alhamdulillah. Saya doa-doa semoga Allah pertemukan kita lagi.” Mereka melepas peluk. “ Tak sangka saya bertemu brother Shahid di sini.” Dan mereka berdua tersenyum lagi.

“ Hilal buat apa disini ? Bukan tinggal di Puchong sana?” Shahid bertanya. Hilal menggeleng kepala.

“ Rumah dulu saya memang kat Puchong, brother. Tapi sekarang saya pindah ke Ukay Perdana. Saya singgah sini ikut abah. Esok ada program disini brother. Anjuran ISMA. Abah termasuk orang yang dijemput bagi talk sikit. Datang brother?” Shahid mengangguk. Teringin rasanya dia hadir sama. Tapi kebenaran Pak Long perlu diminta.

“ Tengok dulu. Kalau diizinkan, Insya Allah..” jawab Shahid. Hilal mengangguk. Hilal kemudiannya mengeluarkan sesuatu dari poketnya.

“ Ini. Saya niat nak bagi brother semasa di kem tapi tak sempat pula.” Pendrive berwarna kuning itu dihulur kepada Shahid. Shahid sambut. “ Saya dah masukkan beberapa lagu yang brother minta hari tu. Teks – teks yang dugunakan sepanjang kem pun saya dah masukkan.” Hilal menyambung lagi. Shahid mengangguk lagi. Pendrive yang dia beri pada Hilal untuk masukkan beberapa perkara telah Hilal sempurnakan.

Hilal kemudian meminta diri. Ada urusan di Petaling Jaya katanya. Menyaksikan Hilal dan bapanya berjalan sama keluar dari perkarangan masjid mengingatkan dia pada kata-kata Hilal sewaktu di kem.

“  Masjid tempat paling sesuai untuk mencari ketenangan. Masjid mensatukan ummat.” Dan kata-kata itu amat Shahid akui. Masjid Syakirin yang dekat dengan tempat yang ramai orang itu terasa  amat senggang sekali. Telefon bimbitnya kemudian berbunyi. Mesej masuk.

Kau mana? Balik jom. Mesej dari Akmal.

Asar dulu. Masjid Syakirin. Shahid membalas mesej tersebut. Tak berapa lama kemudian satu lagi mesej masuk.

OK.  Dan Akmal tiba tak lama kemudian.

Shahid Akmal 7

 7.  Pesan Pak Long
Malam itu selepas Isya’ berjemaah, Imran mengajak beberapa jemaah yang berada di surau duduk berkumpul di hadapan mimbar. Sementara kebanyakan pelajar lain sudah pun berlalu ke kelas masing-masing. Syaaban sudah pun menjengah. Imran sekadar menyampaikan pesan supaya perbanyakkan ibadah kepada Allah. Ibadah di surau, misalnya, solat nafail sebanyak yang boleh. Kalau kita diberi peluang terjaga di tengah malam, kejutkan kawan kita yang lain, supaya beramai-ramai imarahkan rumah Allah. Tazkirah ringkas itu Imran akhiri dengan  sebuah hadith nabi yang sangat terkenal.

“ Dari Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa'idd r.a, berkata : " Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya : ' Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai. ' Maka dijawab Nabi : ' Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai.'” Imran menyampaikan hadith tersebut.

“ Zahid di sini bermaksud pakaian kita, tingkah laku kita, percakapan kita semuanya kena dalam keadaan bersahaja, tak sampai orang terasa dengan kita, sampai bermusuhan dan sebagainya.” Imran menerangkan lagi.

“ Habis tu, bang, apa hukumnya orang pakai baju berjenama, keluar duit banyak-banyak hanya untuk pakaian yang dia pakai?” Salah seorang dari jemaah yang sikit itu bersuara. Jemaah lain ada yang tergelak kecil, ada yang sekadar diam menanti jawapan daripada Imran.

“ Paling penting kita tak boleh biarkan orang sekeliling kita merasa rendah diri dengan pakaian kita, walau sejauh mana kita lebih kaya dari dia. Senang cerita, berpada-pada dalam hidup itu yang paling utama. Dan orang akan sayang pada kita, seperti apa yang nabi kata dalam hadith tadi.” Jelas  Imran sebagai mengakhiri majlis. Jemaah kemudian turut bersurai.

“ Bang, pasal program PASAK hujung minggu ni, siapa yang terlibat?” soalan Shahid mengundang senyum di bibir Imran. Ketika itu mereka sama-sama melangkah di bawah susur gajah ke kelas masing-masing.

“ Oh pasal tu, kepimpinan baru BUDI tentukan. Abang kan dah letak jawatan minggu lepas ?”

“ Oh.. ye tak ya juga kan.” Ujar Shahid yang hampir terlupa akan perkara itu. “ Okaylah macamtu ,bang. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Salam dijawab Imran dan mereka berpecah di persimpangan. Imran ke kelas di blok tingkatan lima manakala dia ke kelasnya di blok tingkatan empat.

“ Hah, Shahid. Ke mana tadi ? Lama cikgu tunggu kamu.” Suara Cikgu Shahril kedengaran ketika Shahid berjalan di hadapan bilik guru. Dia segera berhenti. Cikgu Shahril dilihatnya sedang duduk di salah sebuah sofa yang diletakkan di hadapan bilik guru.

“ Minta maaf, cikgu. Ada apa cikgu cari saya?” Shahid kepelikan. Setahunya dia tidak berurusan dengan Cikgu Shahril.

“ Ni ha, cikgu nak tanya kamu pasal tiket balik. Kamu nak tempah tiket ke Kuala Kangsar tak?” tanya Cikgu Shahril. Wajah anak muridnya ditenung. Shahid berkira-kira. Dia teringat pesan Akmal  2 hari lepas. Akmal dan Pak Long akan pulang bersamanya ke kampung cuti seminggu bulan 8 nanti.

“ Saya tak tahu lagi cikgu..” Shahid menjawab. Cikgu Shahril mengangguk.

“ Takpelah, nanti kamu telefon mak ayah kamu tanya.” Shahid sekadar mengangguk. Hatinya sedikit terasa. Dia tidak punya mak ayah untuk ditelefon. Dia membatalkan langkah ke kelas. Sebaliknya dia bergerak ke pondok telefon.

“ Assalamualaikum Pak Long.” Shahid bersuara setelah telefon diangkat. Salam kemudian dijawab.

“ Hah, kamu apa khabar Shahid? Rajin beno kamu telefon Pak Long.”

“ Oh..takde Pak Long, Shahid nak tanya pasal balik cuti bulan 8 ni. Haritu Akmal ada bagitahu Pak Long nak hantar balik kampung sama.” Kata Shahid. Pak Long mendengar dengan teliti.

“ Hah, betul lah tu. Tapi kamu balik rumah Pak Long dulu. Kamu pun bukan selalu sangat datang rumah Pak Long ni. Nanti Akmal balik, kamu ikut dia sama. Dia selalu naik tren dengan kawan-kawan..’’ Pesan Pak Long pada Syahid. Shahid mengangguk.  Dan hujung minggu itu dia pulang bersama Akmal. Kali pertama dan kali yang terakhir. 

Shahid Akmal 6

6. Hidup yang baru
Gambar itu dia pegang dan tenung lama. Dia duduk dihujung  katil. Bulan dah menjengah awal Jun. Dia dan Akmal masih begitu.  Sementara dia sibuk dengan pelbagai aktiviti dalam BUDI, Akmal sibuk dengan pelbagai aktiviti lain. Akmal dilantik menjadi pengawas sekolah baru-baru ini. Akmal begitu dikenali di sini, fikirnya. Mungkin Akmal  sudah sangat selesa disini, hatinya memujuk. Akmal sudah bersekolah disini selama  3 tahun. Ini tahun yang keempat. Hatinya memujuk lagi.

Akmal  tinggal dengan Pak Long semula pada tahun 2004. Ketika itu mereka berumur 11 tahun.  Akmal merajuk dengan Pak Long kerana memaksa dia berpisah dengan Opah dan Shahid. Dia baling buku sekolahnya, dia menangis di atas tangga. Shahid duduk di sebelah Akmal ketika itu. Bahu Akmal dipegang, sementara Akmal masih menangis. Shahid turut sedih.  Tapi dia kuatkan Akmal dan dia berjanji takkan menangis di hadapan Akmal. Tetapi malam itu, malam pertama dia tidur tanpa Akmal, dia tumpas dengan air matanya sendiri. Seperti mana hari ini. Di hujung katil itu, air matanya mengalir lagi.

Malam itu, 7 tahun yang lalu, opah yang memujuk dia.  Tilam yang biasanya Opah bentang besar untuk mereka berdua Opah lipat sebelah hanya untuk Shahid. Selimut Akmal Opah selimutkan pada badan Shahid. Bantal yang biasa Akmal peluk, Shahid peluk kuat-kuat. Opah besarkan mereka berdua sejak usia mereka 5 tahun. Kemalangan yang menimpa van yang mereka semua naiki mengorbankan  5 nyawa. Dan sejak itulah mereka berdua Opah jaga, Opah pujuk, Opah beri makan, Opah belikan baju baharu, Opah daftar ke sekolah, Opah ajar mengaji. Semuanya Opah yang lakukan sejak kemalangan itu.

Ketika itu, abah yang membawa van tersebut.  Abah, Mak, Mak Long dan Anis, kakak Akmal dan bayi yang mak kandung semuanya meninggal dunia. Ketika van itu masuk ke dalam gaung, hanya Pak Long yang  tidak tidur. Yang lain semua tidur kecuali mak yang memangku Shahid. Mak tersedar sewaktu van sedang jatuh. Abah serta merta pengsan setelah van itu menjunam ke dalam gaung. Pak Long berusaha keluar sambil bawa Akmal. Bila Akmal diletak dibawah pokok beberapa jarak dari van, Pak Long patah balik untuk ambil yang lain. Anis menjerit  “ Abah..abah....”. Tapi Pak Long tak nampak Anis di mana. Barangkali di celah-celah kerusi. Mak yang masih terjaga menghulur Shahid kepada Pak Long. Pak Long bawa Shahid ke tempat yang sama Pak Long letakkan Akmal.

Belum sempat Pak  Long patah balik untuk selamatkan yang lain van itu meletup. Dan Pak Long terduduk di situ sambil suara Anis menjerit “ Abah.... abah....” kedengaran  terngiang-ngiang di telinganya.  Shahid nampak segalanya.  Dan Shahid tak mungkin lupa. Dan setelah itu Opah menjaga mereka berdua. Shahid dan Akmal. Sementara Pak Long berusaha melupakan segalanya dan mulakan hidup baru di Bangi sambil mengukuhkan kewangan.

Hari pertama dia ke sekolah sendiri dengan basikalnya tanpa Akmal, dia rasakan begitu janggal. Dia sudah biasa berbual kosong sewaktu ke sekolah dengan Akmal. Pagi itu dia terasa sunyi dan sepi. Dia singgah di kedai Kak Mas, membeli kuih untuk dimakan dalam perjalanan seperti biasa. Shahid memandang Kuih Sampan yang hanya tinggal satu. Hari ini dia tidak perlu berebut dengan Akmal untuk beli kuih itu.  Kuih itu kegemaran mereka berdua. Bila tinggal satu biasanya dia akan berebut-rebut dengan Akmal. Hatinya terasa sedih lagi. Cepat-cepat dia menaiki basikal semula ke sekolah.

Selalu bila sampai ke sekolah,  Akmal akan terus berlari ke padang setelah basikal di kunci di parkir. Dia akan menyepak bola dengan beberapa kawan yang lain. Sementara Shahid akan jadi penyokong paling setia. Tapi hari itu, dia hanya pandang padang dari jauh. Padang itu tiba-tiba begitu buruk pada pandangannya. Kering dan botak tanpa sebarang rumput. Bayangan Akmal menyepak bola menyedihkan hatinya.

Dia segera berlalu ke kelas. Hari itu dia belajar sambil tempat duduk di sebelahnya kosong. Akmal sudah tiada lagi di kampung itu. Akmal sudah berlalu bersama kereta Waja yang dinaikinya petang semalam. Akmal sudah mulakan hidup di sekolah yang baru. Akmal duduk di sebelah kawan yang baru. Akmal ke sekolah dengan kawan yang baru. Dan kawan itu bukan aku. Hati Shahid bersuara perlahan.

Shahid Akmal 5

5. Jarak  yang jauh
Minggu orientasi terasa begitu singkat. Pejam celik, sudah 2 minggu dia dalam kerinduan menatap wajah Opah kala pagi hari. Teringat saat-saat dia bangun terlebih dahulu dari Opah dan merasa berjayanya dia kerana mampu bangun tanpa perlu dikejut. Disebabkan orientasi tidak menggabungkan kesemua pelajar tingkatan 4, dia masih belum berpeluang berbual dengan Akmal. Bertemu sekadar sekali sekala. Yang jelas, Akmal terlibat dengan latihan rugby di petang hari. Malamnya, apabila dia ke kamar Akmal, Akmal tiada di situ. Barangkali Akmal tidur di kamar lain.

Shahid merasa penatnya bergelar pelajar walaupun baru minggu kedua. Kelas menuntut dia untuk bangun seawal 5.30 pagi dan hanya selesai setelah 4.30 petang. Petang itu dia bersegera mandi selepas solat  Asar dan bergegas ke surau. Dia mengingati pesanan seorang pelajar tingkatan lima, Imran yang meminta dia hadir ke surau. Apabila sampai, dia melihat Imran sedang duduk di sebelah mimbar, membaca Al Mathurat. Dia lantas duduk di sebelah Imran. Imran merasa kehadirannya lalu dia menghentikan bacaan.

“Baca Mathurat dulu.” Dia menghulurkan satu kitab kecil kepada Shahid. Shahid lantas menyambut dan dibacanya mengikut Imran.

“ Shahid puasa hari ni?” Imran memulakan pertanyaan setelah selesai Shahid menghabiskan bacaan Al Mathurat. Shahid sekadar mengeleng. Terasa segan menyapa dirinya. Dirinya yang bertenaga tidak diusahakan  melakukan ibadat sunat yang acapkali dilakukan Opah yang jauh lagi berusia darinya.

“ Shahid tahu tujuan abang panggil?” Shahid menggeleng lagi. “ Abang nampak kamu boleh dibawa kedalam BUDI. Itu sebab abang panggil kamu.” Imran tersenyum. Shahid mengangguk. Dia teringat ketika Imran mengenalkan dirinya sebagai Presiden Badan Ukhuwah dan Dakwah Islamiah ( BUDI )di situ.

“ Shahid ada apa-apa halangan? ” Imran bertanya dan meminta persetujuan.
Shahid menggeleng sambil menjawab, “ Insya Allah, bang. Saya usahakan. Abang panggil saya Shah je.”

“ Baguslah begitu. Kalau nanti ada perjumpaan BUDI, abang perkenalkan Shah kepada ahli yang lain. Sebab Shah kemasukan kedua. Tingkatan 4 yang lain dah dilantik.” Imran menerangkan lagi. Shahid sekadar mengangguk.

“ Lagi satu Shah, kita akan adakan Nadwah Kepimpinan. Insya Allah hujung minggu depan. Semua AJK BUDI akan jadi Naqib. Jadi sebagai persediaan kita adakan kem ni untuk latih semua AJK BUDI yang dilantik  bagi jadi seorang Naqib. Shah rasa boleh ke tak?” Imran sekali lagi bertanya.

“ Kat mana bang kemnya?” Shah bertanya.

“ Biasa kita adakan dengan brother-brother dari UIA sana. Insya Allah tahun ni macam tu juga.” Shah berkira-kira dalam hati. UIA belum pernah di jengahnya selama ini. Mungkin kem ini peluang baginya ke sana.

“ Insya Allah, saya takda halangan minggu depan. Tapi bayarannya kalau mahal susah juga..” Shah sekadar berbahasa. Imran tersenyum. Senyuman itu sedap dipandang, fikir Shahid.

“ Kem ni takde bayaran. Kita memang tiap-tiap tahun buat. Dah macam program bagi satu persatuan kat UIA jugak. Jadi perbelanjaannya UIA yang tanggung. Bas, tempat menginap, semua ditanggung.” Imran menerangkan. Shah mengangguk. Jam di tangan dilihat sekilas.

“ Jam pun dah 6.45 petang ni. Eloklah  kalau Shah gerak ke Dewan Makan dulu. Takut nanti lambat pula Solat Maghrib.” Imran mencadang. Shahid lantas bangun. Tangan Imran disalam.

“ Terima kasih banyak,bang.” Dan dia berlalu keluar dari surau nak menuju ke Dewan Makan. Dalam perjalanannya di Susur Gajah yang menghala ke Dewan Makan, dia terlihat Akmal sedang menuju ke asrama yang bersebelahan dengan Dewan Makan. Akmal tidak bersediri. Barangkali dia dari padang, usai latihan rugby.

“ Akmal!” Shahid melaung. Akmal memandang. Tangan yang sedang memegang sepasang kasut diangkat tinggi. Tanah yang melekat di kasut jatuh mengena beberapa kawannya yang lain.

“Bodoh ah kau!!” Akmal kemudian olok-olok dibelasah kawan-kawannya yang lain. Dia berlari-lari ke asrama sambil yang lain mengejar-ngejar. Shahid sekadar memerhati.  Akmal sekadar memakai seluar pendek  atas lutut meninggalkannya berdiri di Susur Gajah itu. Hatinya meruntun pilu. “ Itukah Akmal ?” Dia bertanya pada dirinya berkali-kali.

Shahid Akmal 4

4.   Angan dan Cita
Sampul surat bersaiz A4 itu dipegang kemas. Opah di hadapan direnungnya.

“ Apa kamu tunggu lagi, Shahid. Bukalah sampul tu. Apa nama tulisannya? Cuba kamu baca?” Opah bersuara selepas seketika.

“ Kalau sekolahnya jauh macam mana, pah?” Shahid bersuara dalam kerisauan. Takkan mampu dia membiarkan opah yang telah menjaganya sejak kecil bersendirian di kampung itu.

“ Kamu ni Shahid, aku ni hidup 69 tahun bukan kamu jaga aku. Aku jaga kamu.” Kata-kata opah mengundang senyum di bibirnya. Opah masih mampu bergurau dikala dia kerisauan. Opah sangat mengagumkan dirinya. Walau usia opah menginjak ke usia senja, dia masih mampu ke pasar di pagi hari, ke mensyuarat  AJK Kampung Sayong Mesjid, masih mampu bermain rebana dan lain-lain lagi. Malah opah menjadi ketua keluarga yang terdiri daripada dia dan opah. Shahid tersenyum lagi.

Tangannya lantas membuka sampul di tangan. Surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dibaca perlahan.

MUHAMMAD SHAHID BIN ZAID MOKHTAR
TAHNIAH ! ANDA MENDAPAT TAWARAN KE SBPI GOMBAK.

Degupan di jantung bagai terhenti. Mindanya segera mengingati seorang sahabat yang sudah sekian lama tidak bertemu. Akmal Sharidan bin Suhaimi. Anak Pak Longnya  yang merupakan anak angkat Opah. Dia mendapat tawaran bersekolah dengan Akmal, cucu kepada anak angkat opah yang merupakan sahabat baiknya sejak lahir.

“ Hah, apa nama tulisnya, Shahid? Ce bacakan, mata Opah ni tak mahunya dah tulisan macam ni.” Opah membelek surat di tangan Shahid.

“ Shahid dapat sekolah dengan Akmal, pah. Di Gombak.” Shahid bersuara perlahan. Terasa seolah Allah mengabulkan doanya selama ini.

“ Akmal? Anak Pak Long kamu?” Opah bertanya dalam tidak percaya. Shahid dipandangnya. Shahid sekadarr mengangguk perlahan. Air mata opah mengalir. Shahid didakapnya erat-erat.

“ Ya Allah, Shahid...”  Dan lafaz Alhamdulillah diucap Opah berkali-kali.


Beg diturunkan dari kereta. Baldi dan barang-barang lain turut diturunkan. Shahid memandang Opah di hadapannya. Sementara Pak Long berurusan dengan penjaga asrama.

“ Kamu jaga diri kamu baik-baik, Shahid. Ingat pesan mak ayah kamu.” Opah bersuara perlahan. Air matanya mengalir membasahi pipinya yang tua. Kedutnya sudah seribu, fikir Shahid. Hatinya masih ragu-ragu meninggalkan opah yang sudah tua bersendirian di kampung. Opah sudah terlalu tua. Mampukah Opah hidup bersendirian?

“ Opah, Opah jaga diri baik-baik. Kalau Opah nak apa-apa, Opah minta Abang Udin belikan. Shahid dah cakap dengan dia. Kalau Opah nak potong kuku, Opah suruh Misah potongkan. Shahid dah cakap dengan dia. Kalau Opah tak larat pergi beli ikan, Kak Mas isteri Abang Udin tu boleh belikan..” Air mata Shahid turut tumpah. Opah menggeleng-geleng kepala.

“ Apa yang kamu risau bebeno, Shahid? Kamu tu jaga solat kamu. Belajar elok-elok. Aku tahu la nanti apa yang nak dibuat. Usah kamu risau.” Mereka kemudiannya memeluk satu sama lain. Opah memegang tangan Shahid lantas dihulurkannya sesuatu. Shahid mengambil buku kecil tersebut. Buku Simpanan Tabung  Haji itu direnungnya.

“ Duit mak ayah kamu semua ada kat situ Shahid. Opah ambil sikit-sikit nak beli barang-barang kamu dulu. Yang lain semua ada kat situ, usah kamu risau.” Shahid memandang opah dengan rasa tak percaya.

“ Shahid nak buat apa duit banyak-banyak ni, opah?” Opah sekadar tersenyum.

“ Kamu gunalah apa yang patut Shahid. Kalau tak banyak gunanya, biarlah kat situ. Elok juga. Cepat kamu buat haji nanti.”Opah bersuara perlahan. Pesanan Opah tersemat di dada sampailah akhir pengajiannya. Dan dia mengerjakan haji bersama opah akhir tahun hadapannya, selesai dia menduduki SPM.

Shahid Akmal 3

 3. Persiapan Awal
“ Semua barang kamu dah siap?” Suara Pak Long kedengaran di pintu bilik. Shahid berhenti dari melipat kain.

“ Insya Allah, Pak Long. Tinggal baju-baju yang tengah basuh.” Shahid menjawab. Pak Longnya mengangguk lalu duduk di atas kerusi belajar.

“ Baguslah. Kamu pun tak lama lagi dah nak berangkat.” Pak Long diam sebentar. “ Kamu bercadang bila nak berangkat ke Banting?” Wajah Shahid dipandangnya. Wajah itu nampak menyenangkan dan sejuk dipandang.

“ Saya ingat nak pergi lusa. Tapi hari tu opah pesan bawak dia sama. Jadi saya uruskan tiket opah dulu. Paling tidak pun jumaat ini saya dah berangkat ke Banting. Jumpa opah di sana.”

“ Motor kamu tu macamana? Kamu dah pikirkan?” Shahid tersenyum  sambil kepalanya menggeleng perlahan mengenangkan kealpaannya. Astaghfirullah...

“ Belum lagi Pak Long. Terlupa pula saya.” Pak Long turut tersenyum.

“ Takpelah, kamu tinggalkan saja di sini. Tahulah nanti Pak Long uruskan. Hal kamu nak ke Banting nanti, Pak Long usahakan hantar kamu.”

“Terima kasih banyak, Pak Long. Banyak Pak Long bantu saya.” Shahid lantas bangun memeluk erat pak cik kesayangannya. Walaupun bukan pak cik saudara yang mempunyai pertalian darah dengannya, Pak Long membantunya dalam banyak perkara. Air mata mengalir perlahan dari mata keduanya.

“ Kamu macam anak Pak Long juga. Sayang rasanya melepas kamu pergi.”
                                       

“ Assalamualaikum” Suara yang cukup dikenalinya memberi salam.

“ Waalaikumussalam, shahid. Baru kamu nak telefon opah. Hah, apa khabar kamu kat KL sana? Pak Long kamu sihat? Apa khabar dia?” Celoteh Opah mengundang senyum lebar di bibir Shahid.

“ Opah ni.. Shahid baru telefon. Dah kena serang.” Di hujung talian kedengaran suara Opah tergelak kecil. Comel sungguh bunyinya,getus hati  Shahid. Rindu di dada membuak . Dia lantas tersenyum lagi.

“Opah rindu bebeno dengan kamu Shahid. Kamu kata nak bawak Opah ke sana? Kamu dah beritahu Pak Long kamu. Dia apa khabar, Shahid. Lama beno tak dengar cerita.”

“ Opah, Shahid telefon nak bagitahu opah la ni. Pak Long kirim salam. Hari tu baru lagi Pak Long telefon,kan? Opah lupa la tu..” Opah nya tergelak lagi. Dan Shahid turut tergelak sama. “ Opah naik bas nanti  Abang Udin sebelah rumah tu tolong tunjukkan” Shahid memaklumkan kepada opahnya.

“ Kamu suruh Udin tolong opah, Shahid? Hah, elok bebeno le tu. Aku ni pun bukan reti nak pergi stesen  bas tu ha. Ada Udin nak nolong ngantar pun jadi lah.” Opah bersuara. Nada lega jelas kedengaran. Rasa bersalah menjelma dalam hati Shahid terpaksa membiarkan Opah menaiki bas seorang diri.

“ Shahid minta maaf opah, menyusahkan opah naik bas.”

“ Ate kamu ada kereta nak jemput aku?” Shahid tergelak. Opah ni.. Perli lah tu. “ Usahlah kamu rasa bersalah Shahid.. Udah banyak kamu nolong aku. Aku ni nak merasa nengok kubur mak bapak kamu tu. Sementara ada umur aku ni, Shahid. Esok lusa belum tentu lagi..” Opah bersuara sayu. Kenyataan itu menikam hati dan perasaan Shahid. Tapi Opah sudah sangat tua, dia memujuk diri.Tentu sahaja kemungkinan itu akan terjadi pada bila-bila masa.

“ Insya Allah, Opah. Shahid usahakan bawa Opah ke kubur mak dan abah. Sampai di Klang nanti Shahid tunggu Opah dekat hentian bas tu. Opah jangan risau.” Entah kenapa Shahid  seolah dapat mendengar senyuman opahnya.

“ Aku bawak Misah neman aku, Shahid. Usah kamu risau.” Shahid sedikit terkejut.

“ Misah ikut sama opah?” Shahid bertanya. Nadanya yang sedikit terkejut tidak dapat dikawal.

“ Aku saja ngajak dia, kot dia boleh neman. Dia pun baru habis periksa katanya. Habis tingkat 5. Apa nama periksanya tu?”

“ SPM, pah.”

“ Hah, SPM. Tulah. Dia pun takde kejenya...” Opahnya menerangkan.

“ Hmm. Baguslah. Takdelah Shahid risau sangat pasal Opah..”

“ Opah pun pikir rupa itu juga. Tidaklah risau sangat kamu nanti.” Shahid tersenyum. Misah, misah...
 Bagaimana agaknya rupa Misah sekarang? Memorinya ligat mengingat kembali seraut wajah yang acapkali menjadi tempatnya memohon bantuan untuk menjaga Opah di kampung sejak dia  menetap bersama Pak Long di Bangi.

Shahid Akmal 2

 2. Tazkirah antara Maghrib dan Isya’

“Alhamdulillah, hari ini kita diberi sekali lagi peluang oleh Allah S.W.T untuk bersama dalam waktu yang singkat ni.” Imam Asyraf bersuara setelah jemaah menjawab salamnya.  Shahid di satu sudut surau memandang Asyraf dengan perasaan kagum. Kagum kerana dalam usia yang begitu muda Asyraf diberi peluang oleh Allah memimpin jemaah di Surau Al Raudhah. Asyraf merupakan imam sepenuh masa di surau itu.
“ Hari ini Allah beri kita satu peluang yang sangat baik. Ada orang, saudara kita di luar sana, keretanya besar, tetapi Allah tidak buka hatinya untuk bersama kita semua dalam majlis ilmu sebegini.” Asyraf kemudiannya mengucapkan kalimah alhamdulillah beberapa kali sambil jemaah yang lain mengikutinya. Kagum Shahid bertambah.

“ Hari ini, Insya Allah, menepati janji saya yang semalam, saya akan berbicara tentang Allah dan sifatnya yang mengabulkan  doa setiap hambanya yang memohon kepadanya. Saya akan bacakan satu ayat yang biasa diperdengarkan, insya Allah.” Imam Asyraf kemudian dengan mata yang dipejam, membaca sepotong ayat dari Surah Al Mukminun, ayat 60. Selesai dibacanya ayat Al Quran itu, disampaikan pula maksudnya pada jemaah yang hadir.

“ Allah berfirman kepada kita yang mana maksudnya berbunyi; ‘Dan Tuhanmu berpesan; Berdoalah kepadaku, nescaya akan keperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembahKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.’ Begitulah maksudnya.” Imam Asyraf lantas tersenyum.  “Dalam ayat ini, Allah mengajak kita semua supaya berdoa pada Nya sebab Allah tentu sahaja akan mengabulkan doa kita”. Jemaah yang hadir menganggukkan kepala tanda faham.
“Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa sesungguhnya Allah itu santun dan Maha pemurah. Malah Allah segan untuk membiarkan doa hambanya tidak dikabulkan.” Shahid terus mendengar dengan khusyuk.

“ Kita kena ingat bahawasanya doa yang kita panjatkan merupakan tanda bahawa kita makhluk yang lemah yang sentiasa memerlukan Allah S.W.T”. Imam Asyraf menyambung lagi, “ Dan doa kita tidak pernah Allah sia-siakan. Sama ada doa kita akan Allah kabulkan terus, atau Allah tangguhkan dahulu, atau Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Masya Allah.”

“ Dan apabila kita rasa tiada apa lagi yang kita mampu lakukan, ingatlah kita sentiasa ada Allah. Sepertimana firman Allah dalam Surah An Naml, ayat 62.” Lantas Imam Asyraf membacakan ayat itu. Jemaah sekali lagi hanyut dalam khusyuknya menghayati kalimah dari Allah. “ Ayat ini bermaksud; ‘ Atau siapakah yang memperkenankan (doa ) orang yang berada dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada Nya dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu ( manusia ) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain )? Amat sedikitlah kamu mengingat Nya.’”  Jemaah yang hadir semuanya terdiam. Barangkali mengenang betapa masa yang diluangkan untuk mengingati Allah.

Imam Asyraf kemudiannya menangguh majlis ilmu tersebut dan memberi peluang kepada jemaah untuk memperbaharui wudhu’ dan bersiap untuk solat Isya’.

“ Assalamualaikum, brother.” Shahid menyapanya usai Solat Isya’ berjemaah.

“Waalaikumussalam...” Dia menoleh. “ Oh.. kamu Shah.” Dia tersenyum. Mereka bersalaman. “ Kamu apa khabar? Bila sampai sini?” Asyraf bertanya kepada Shahid dihadapannya.

“ Alhamdulillah. Saya sihat. Baru sampai semalam. Bagus betul pengisian brother tadi.” Asyraf sekadar tersenyum.

“ Alhamdulillah, Shah. Itu semua datang dari Allah.” Mereka berjalan beriringan.

“ Hah, dengar cerita kamu nak berangkat ke Mesir?” Asyraf bertanya sambil mereka menyusun langkah ke arah motor masing-masing.

“ Insya Allah minggu depan. Ke Mansourah. Perubatan.” Shahid  manjawab. “ Biasiswa dari baitulmal. Ada pelajar yang tolak di saat akhir. Jadi pihak baitulmal panggil saya. Kebetulan yang indah, saya bersyukur sangat.” Langkah mereka berhenti apabila tiba di motor masing-masing.

“ Alhamdulillah. Belajar betul-betul, Shahid... Bukan senang nak dapat peluang sebegini. Kamu kena bersyukur Allah memberi kamu peluang ke sana.”

“ Insya Allah. Brother doakan saya.” Shahid  berpelukan dengan Asyraf yang tua beberapa tahun darinya.

“ Insya Allah Syahid.” Motor kedua-duanya kemudiannya berlalu dari perkarangan surau.

Akmal yang dari tadi memerhati mereka berdua, melangkah perlahan keluar dari surau. Hati kecilnya mengangumi Shahid yang begitu dikenali oleh orang-orang surau walaupun dia tidak tinggal di sini. Sedangkan dia? Hanya beberapa kali ke surau tidak memungkinkan perkara itu berlaku. Langkah kaki kemudiannya dipercepat mengingatkan latihan futsal  untuk tournament yang bakal disertainya.